Ericsson, Intel tingkat penerimagunaan 5G di Malaysia
03 Apr 2023
Ericsson dan Intel menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam pembangunan kes penggunaan 5G yang dapat mempercepat pendigitalan di Malaysia serta memacu penerimagunaan teknologi baharu itu oleh perusahaan.
Kedua-dua syarikat itu akan bekerjasama dalam kepakaran teknologi mereka masing-masing bagi memastikan bagaimana penyedia perkhidmatan komunikasi (CSP) boleh mempercepatkan penerimagunaan 5G dan mengembangkan pembabitan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) mereka berdasarkan kes penggunaan 5G.
Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagerbro, berkata kerjasama Ericsson dengan Intel di Malaysia akan menyumbang kepada penerimagunaan 5G dan pembangunan ekosistem tempatan yang seterusnya akan memacu transformasi digital di negara ini.
“Usaha ini juga akan memastikan negara mempunyai kelebihan tersendiri berbanding pasaran lain di rantau ini dalam soal pelaburan asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengarah Urusan Intel Malaysia, AK Chong, berkata dengan peningkatan pendigitalan dalam kalangan masyarakat dan ekonomi, 5G menjadi komponen asas untuk memacu inovasi merentasi semua segmen perniagaan.
“Kerjasama ini menunjukkan bagaimana infrastruktur 5G Malaysia dengan perkhidmatan tercanggih yang inovatif yang dikuasakan oleh teknologi Ericsson dan Intel akan membolehkan perusahaan tempatan mentransformasikan dan mempercepatkan perniagaan mereka melalui penyelesaian digital,” katanya.
Sumber: Bernama