Farm Fresh mahu beli tanah di Negeri Sembilan jadi hab pembuatan baharu
01 Jul 2022
Farm Fresh Bhd bercadang untuk membeli tanah perindustrian pegangan bebas di Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan berharga RM18.24 juta.
Dalam pemaklumannya di Bursa Malaysia semalam, Farm Fresh berkata syarikat itu merancang untuk menggunakan tanah tersebut bagi membangunkan hab pembuatan baharu di wilayah tengah Semenanjung Malaysia yang lebih besar.
Menurut syarikat tenusu itu lagi, ia adalah bertujuan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran sedia ada kumpulan bagi produk tenusu dan berasaskan tumbuhan, serta penawaran produk baharu bersebelahan.
“Tanah itu terletak secara strategik di wilayah tengah Semenanjung Malaysia, yang akan membolehkan kumpulan itu meningkatkan kecekapan kosnya dengan mengurangkan kos pengangkutan, kerana hab pembuatan baharu itu akan lebih dekat dengan pelanggannya di Lembah Klang,” katanya.
Farm Fresh berkata, pengambilalihan tanah daripada THP Enstek Development Sdn Bhd itu dijangka siap dalam tempoh enam hingga sembilan bulan, dan akan dibiayai sepenuhnya daripada hasil tawaran awam permulaannya.
Saham dalam Farm Fresh ditutup satu sen atau 0.61% lebih rendah pada RM1.62 pada 30 Jun 2022, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran RM3.01 bilion.
Sumber: DagangNews.com