Firma Switzerland besarkan kilang di Pulau Pinang
30 Jan 2022
Pembesaran Fasa Tiga syarikat pembekal terkemuka dunia injap vakum berprestasi tinggi, VAT Group AG di Pulau Pinang dijangka menyumbang kira-kira 50 peratus daripada jumlah kapasiti pengeluaran global kumpulan itu menjelang 2028.
Syarikat berpangkalan di Switzerland yang mengadakan majlis pecah tanah untuk memulakan pembesaran fasa berkenaan pada Khamis lalu berkata, kilang baharu berkeluasan 3.92 hektar itu dianggar dapat mewujudkan 500 peluang pekerjaan sebaik siap dan beroperasi pada kapasiti penuh sambil menggandakan kapasiti pengeluaran operasi VAT di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) VAT, Mike Allison, berkata pembesaran Fasa Tiga itu akan meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran syarikat dengan pelaburan awal kira-kira RM321 juta dalam tempoh antara 2022 hingga 2024.
“Pasukan kami di Pulau Pinang sudah melakukan kerja yang hebat meningkatkan pengeluaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk memenuhi keperluan pasaran yang berkembang pesat dan keputusan untuk mengembangkan lagi operasi di Pulau Pinang adalah sebagai mengiktiraf usaha cemerlang mereka.
“Selain itu, beberapa pelanggan pengeluaran peralatan asal (OEM) terbesar kami beroperasi di rantau ini dan meningkatkan pengeluaran di sini akan mengukuhkan keupayaan untuk bekerjasama dengan mereka secara lebih berkesan dan menyampaikan nilai dengan lebih cepat dan cekap,” katanya.
Allison turut menjelaskan, VAT Manufacturing Malaysia akan menjadi pembekal utama untuk pelanggan syarikat di Korea Selatan, Jepun, China dan seluruh Asia.
Beliau berkata, pada masa ini, kilang tempatan itu menggajikan kira-kira 600 pekerja dan dengan permintaan didorong oleh trend jangka panjang seperti pendigitalan global, ia menjangkakan jumlah pekerja meningkat kepada lebih 1,200 orang menjelang akhir 2027.
Kilang pembuatan VAT di Pulau Pinang memulakan pengeluaran pada April 2013, dengan pelaburan lebih RM102 juta bagi kilang berkeluasan 6,000 meter persegi.
Pada September 2019, VAT memulakan pengembangan kedua kilangnya di Pulau Pinang dengan pelaburan berjumlah RM165 juta, meliputi kawasan seluas 24,000 meter persegi untuk menyokong pertumbuhan ketara syarikat.
Ia berkata, operasi di Malaysia memainkan peranan penting dalam strategi syarikat untuk terus membina pasaran global dan kepimpinan teknologinya, bagi menampung keperluan pelanggannya dalam sektor khusus dan sasaran, terutama pelanggan utama di Asia.
Dalam kenyataan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman, berkata pembesaran kemudahan pembuatan teknologi injap vakum yang dipertingkatkan VAT mencerminkan pertumbuhan permintaan global jangka panjang untuk industri berkenaan dan bagaimana Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang ini.
“Sehingga September 2021, MIDA sudah meluluskan sejumlah 230 projek pembuatan dari Switzerland bernilai RM14 bilion dan aliran masuk pelaburan Switzerland yang berterusan ke Malaysia mencerminkan daya saing berterusan negara untuk perniagaan.
“Hakikat yang syarikat-syarikat ini terus melabur di Malaysia, walaupun pada masa yang mencabar dalam ekonomi global, sememangnya patut diberi perhatian dan sebagai bukti iklim pelaburan yang kondusif di negara ini,” tambah beliau.
Sumber: Bernama