Firma Taiwan bina gudang pintar berskala dunia di Klang
13 Okt 2022
Ally Logistic Property (ALP), pemaju hartanah logistik institusi terbesar Taiwan melancarkan ALP Bukit Raja OMega, gudang pintar berskala global di Taman Perindustrian Bukit Raja, dekat sini.
ALP Bukit Raja OMega adalah gudang yang canggih dan berfokuskan teknologi yang direka untuk meningkatkan prestasi industri logistik negara dijangka siap pada suku ketiga 2024.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif ALP, Charlie Chang, berkata kemudahan dengan keluasan lantai 1.8 juta kaki persegi itu menyokong inisiatif Selangor Pintar dan Logistik 4.0 Malaysia.
Beliau berkata, kewujudan gudang berkenaan dijangka mengukuhkan lagi industri logistik dan pergudangan di Malaysia dengan ia dapat menampung permintaan yang semakin meningkat di Selangor dan Malaysia.
Katanya, dengan 100,000 palet dalam zon sistem penyimpanan dan pengambilan automatik (AS/RS), ia menjadi destinasi ideal untuk barang pengguna cepat laris (FMCG), peruncit dan platform e-dagang.
“ALP melihat permintaan yang semakin meningkat untuk produk dan perkhidmatan kami yang inovatif dan kalis masa hadapan di Asia Tenggara.
“Dengan pengumuman rasmi dan pembinaan kemudahan gudang terbaharu ini di Malaysia, ALP bertekad meneruskan usaha untuk merangsang pertumbuhan industri dan memperkasakan organisasi jenama tempatan dalam misi transformasi digital mereka untuk menjangkau pasaran baru dan buka laluan kepada kekayaan,” katanya pada majlis pelancaran dan pecah tanah ALP Bukit Raja Omega di sini, hari ini.
Majlis pelancaran dan pecah tanah disempurnakan EXCO Dewan Undangan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari Idris; Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Noor Aini Samoon; Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Nurhisham Hussein; dan Pengarah Urusan YTL Power, Datuk Yeoh Seok Hong.
ALP Bukit Raja OMega adalah gudang pintar berbilang tingkat, dengan integrasi sistem automasi dan bersepadu dengan teknologi.
Dengan konsep futuristik, kemudahan itu memperkenalkan struktur ‘gudang bergabung’ untuk menawarkan pelan sewaan yang fleksibel bagi menampung pengembangan perniagaan pelanggan industri.
Ia memiliki sistem AS/RS yang bertaraf global sebagai terasnya, dan boleh mengelaskan pelanggan dan fungsi mengikut tingkat.
ALP Bukit Raja OMega OMega cipta kluster pembekal dan peruncit ikut industri sebagai penyelesaian kepada keperluan pergudangan Malaysia yang semakin berkembang pesat dan perkembangan digital yang semakin rancak.
Model ‘gudang bergabung’ itu membenarkan pelanggan yang mempunyai sumber yang terhad untuk dapat cara penyelesaian yang paling sesuai, mengurangkan pergantungan kepada sumber tenaga manusia, meningkatkan kecekapan operasi, memendek masa pemprosesan dan mengelakkan sebarang kesilapan yang berpunca daripada faktor manusia.
Dari segi operasi, ia boleh mengawal dan mengurangkan perbezaan kapasiti antara luar musim dan puncak musim pelbagai industri, dan memastikan tahap penggunaan peralatan yang cekap dan perancangan tenaga buruh untuk mencapai kecekapan ekonomi yang maksimum.
Sementara itu, Pengarah Urusan ALP Malaysia, Keren Liu berkata, ALP Bukit Raja OMega yang berada di lokasi yang strategik dan reka bentuk struktur unik menjadikannya lebih menonjol daripada kemudahan lain.
Katanya, syarikat juga berjaya bekerjasama dengan pelabur utama seperti KWSP dan menarik perhatian organisasi multinasional untuk menyertai sebahagian daripada projek berkenaan.
“Saya percaya usaha ALP ini akan merevolusikan bidang infrastruktur pergudangan Malaysia melalui penggunaan sistem automasi dan robotik yang canggih dan dapat sokong inisiatif Gudang Berkhusus dan Logistik 4.0.
“Kami amat gembira dapat melancarkan projek global yang pertama di Malaysia, berusaha ke arah kecemerlangan dengan beri sokongan kepada pelanggan tempatan dan multinasional dalam transformasi digital,” katanya.
Sumber: Berita Harian