Firma Thailand labur RM140 juta hasilkan komponen kereta PROTON - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Firma Thailand labur RM140 juta hasilkan komponen kereta PROTON

Firma Thailand labur RM140 juta hasilkan komponen kereta PROTON

03 Jul 2023

Syarikat alat ganti kenderaan terbesar Thailand, AAPICO Hitech Public Company Limited (Aapico) melabur RM140 juta untuk mengeluarkan komponen kenderaan bersama Proton Holdings Bhd (PROTON).

Kerjasama itu dimeterai antara PROTON dan anak syarikat Aapico, Advance Vehicle Engineering Global Sdn Bhd (AVE Global).

Menerusi kerjasama Aapico dan PROTON, syarikat berpangkalan Bang Pa-in, Ayuthaya itu membuat pelaburan awal sebanyak RM40 juta ke atas kemudahan seluas 8.09 hektar milik milik AVE Global.

Ia membabitkan pengeluaran komponen dan alat ganti seperti ‘dies’, ‘jig’, ‘hot stamping’, badan kenderaan dan casis.

Kerjasama akan menyaksikan Aapico memegang sebanyak 60 peratus AVE Global daripada PROTON manakala 40 peratus dimiliki PROTON dalam syarikat yang akan dinamakan semula sebagai Aapico Ave Sdn Bhd.

Perkongsian yang dirasmikan pada 26 Jun lalu, akan disusuli dengan perancangan untuk meluaskan lagi usaha sama bagi memenuhi permintaan terhadap kenderaan PROTON dan keseluruhan sektor automotif yang semakin meningkat, membabitkan perancangan pelaburan sebanyak RM100 juta tahun depan dari segi peluasan kilang dan pemerolehan jentera baharu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Aapico, Yeap Swee Chuan, berkata syarikat itu mengambil peluang untuk menyertai sektor pembuatan alat ganti di Malaysia pada masa yang tepat, dengan perkembangan yang baik dijangkakan dalam industri automotif, diterajui oleh permintaan kukuh untuk kenderaan PROTON dan disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang mantap.

“Kami berhasrat untuk membawakan kepakaran dan teknologi pembuatan dalam usaha sama ini dan menyediakan alat ganti bertaraf dunia kepada PROTON dan menyokong pelan perkembangan mereka di pasaran tempatan dan eksport.

“Kemudahan pembuatan sedia ada akan meningkatkan jumlah pengeluarannya dengan produk baharu yang kini dalam perancangan,” katanya pada sidang media selepas pengumuman usaha sama di sini, hari ini.

Pengumuman sinergi Aapico-PROTON disaksikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Yang turut hadir, Duta Thailand Ke Malaysia, Lada Phumas; Penasihat Aapico, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengerusi PROTON, Tan Sri Syed Faisal Albar dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah.

Swee Chuan berkata, dengan pengalaman dan kepakaran luasnya, Aapico akan menguruskan operasi dan memperkenalkan penggunaan teknologi baharu untuk mengeluarkan alat ganti yang lebih berkualiti, menambah baik pengeluaran dan menjimatkan kos.

“Perkembangan di masa hadapan itu juga akan menyaksikan pembangunan modal insan dengan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan sambil menarik pekerja berkemahiran tinggi ke negara ini,” katanya.

Bagi PROTON, usaha sama berkenaan mengukuhkan lagi cita-cita syarikat itu untuk menjadi peserta utama dalam pasaran automotif ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong berkata, dengan memanfaatkan skala ekonomi dan inisiatif pelaburan Aapico serta gabungan teknologi sedia ada pengeluar kereta nasional itu dalam bidang seperti ‘hot press forming’, syarikat berkenaan berharap untuk berada di barisan hadapan dalam rantau automotif yang paling pest berkembang di dunia.

Perkongsian strategik Aapico-PROTON adalah usaha sama kedua Aapico dalam sektor alat ganti kenderaan di Malaysia.

Awal tahun in, Aapico menandatangani perjanjian usaha sama dengan Purem, antara pembekal sistem ekzos terbesar di dunia.

Dengan pelaburan awal sebanyak RM30 juta, Aapico memegang 49 peratus pemilikan manakala Purem pula sebanyak 51 peratus daripada Purem Aapico Sdn Bhd, yang akan mengeluarkan sistem ekzos dan mula membekalkannya kepada PROTON dalam suku ketiga tahun ini.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon