FMM akan bekerjasama dengan China dalam pelbagai bidang
26 Apr 2023
Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) akan bekerjasama dengan Majlis Penggalakan Perdagangan Antarabangsa China (CCPIT) dan Dewan Perdagangan Antarabangsa China (CCOIC) untuk memperkukuh hubungan perniagaan serta kerjasama antara Malaysia dan China.
Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata kerjasama itu akan melibatkan pelbagai bidang iaitu ekonomi digital, pembangunan hijau dan inisiatif tenaga baharu.
ADVERTISING
Beliau berkata inisiatif itu adalah sebagai menyahut seruan supaya sektor swasta memainkan peranan yang lebih besar untuk mengukuhkan dan meningkatkan hubungan dua hala berikutan lawatan rasmi sulung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China bulan lepas.
Perkongsian ini akan menggalakkan perniagaan dari kedua-dua negara untuk memanfaatkan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia yang melibatkan 15 negara dengan jumlah penduduk lebih daripada 2.2 bilion untuk akses pasaran lebih besar, katanya.
Menurut kenyataan itu, kerjasama berkenaan memerlukan penganjuran lebih banyak pameran dan forum untuk memudahkan dialog serta pemadanan perniagaan antara perusahaan, menjalankan penyelidikan peringkat perusahaan dan menggalakkan pembangunan perdagangan digital serantau.
“Selain itu, ketiga-tiga pihak akan secara aktif menyokong langkah sokongan dasar untuk memperkenalkan ekosistem perniagaan yang kondusif bagi sektor swasta di kedua-dua negara bagi mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan,” katanya selepas acara dialog FMM dengan CCPIT dan CCOIC semalam.
FMM telah menandatangani memorandum persefahaman dengan CCPIT Guangdong Sub-Council dan CCPIT masing-masing pada Ogos 2003 dan September 2016 dengan mandat untuk menggalakkan kerjasama perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
“Melangkah ke hadapan, FMM akan memperbaharui memorandum persefahaman dengan CCPIT semasa lawatan Pengerusi CCPIT Ren Hongbin ke Malaysia pada separuh kedua tahun ini sebelum mengatur lawatan ke China tahun depan,” kata Soh.
Sumber: Bernama