FMM jangka Negeri Sembilan bakal jadi tarikan baharu pelaburan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


FMM jangka Negeri Sembilan bakal jadi tarikan baharu pelaburan

FMM jangka Negeri Sembilan bakal jadi tarikan baharu pelaburan

23 Mac 2021

Negeri Sembilan berpotensi untuk bersaing dengan negeri-negeri lain seperti Selangor dalam menarik pelaburan baharu, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM)

Presidennya Tan Sri Soh Thian Lai berkata negeri itu juga berupaya menjadi hab seterusnya bagi Greater Klang Valley, didorong oleh tujuh industri tumpuannya dalam Tahun Melabur Negeri Sembilan 2021 (Invest NS 2021).

“Tujuh kluster keutamaan Negeri Sembilan adalah selaras dengan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11)  dan visi untuk beralih kepada  produk yang lebih kompleks dan pelbagai yang mempunyai nilai tinggi dan berteknologi tinggi.

“Ia seterusnya dapat meningkatkan rantaian nilai aktiviti pembuatan Malaysia ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi,” katanya semasa Siri Webinar Pelaburan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)  bertajuk ‘Business As (Un)Usual: Investment Prospects in Negeri Sembilan’ di sini, hari ini.

Tujuh industri tumpuan itu termasuklah aeroangkasa; automotif; pertanian dan asas tani; bioteknologi; peranti/bahagian perubatan dan saintik; teknologi canggih dan industri sokongan.

Selain itu, Soh berkata Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) ditubuhkan  untuk menyokong rangka  tindakan ini, dengan menumpukan kepada antara lainnya pembuatan berteknologi tinggi, teknologi bersih dan perkhidmatan khusus.

MVV 2.0 dicadangkan untuk ditransformasikan menjadi zon pelaburan khusus dengan pusat kelulusan sehenti.

“Negeri Sembilan menawarkan lokasi yang ideal dalam kawasan Greater Klang Valley, dengan penggunaan tanah yang strategik, perkhidmatan sosial yang cekap, kemudahan komuniti yang dipertingkatkan, pengangkutan bersepadu dan perkhidmatan logistik serta rangkaian.

“Ia mempunyai infrastruktur dan utiliti yang berkualiti, menyediakan nilai tambah kepada pelabur,” katanya.

Sementara itu, Soh berkata, sektor pembuatan masih menjadi pemacu utama ekonomi Malaysia dan merupakan penyumbang penting kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Negeri Sembilan.

“Negeri Sembilan mempunyai sekurang-kurangnya dua projek pembangunan mega  yang dirancang –  Projek Laluan Rel Pantai Timur  dan MVV 2.0 — yang akan meningkatkan pelaburan dan pertumbuhan ekonomi dengan ketara.

“Bagi ECRL, negeri itu akan mempunyai dua stesen di Kuala Klawang dan Nilai, manakala MVV 2.0 — koridor ekonomi baharu negara — disasarkan menjadi metropolis bertaraf dunia seluas lebih 153,411 hektar, mengunjur dari Nilai ke Port Dickson,” katanya.

Fasa 1 MVV 2.0 terdiri daripada antara lainnya taman perindustrian berteknologi tinggi, daerah pengangkutan bersepadu, daerah pelancongan dan kawasan perlindungan burung/sungai.

Pada 2019, negeri itu memohon untuk menubuhkan  zon perdagangan bebas dalam MVV 2.0 bagi membantu merancakkan dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif  MIDA, Ahmad Khairuddin berkata pelaburan ke Negeri Sembilan semakin mendapat momentum, dan tahun lepas merupakan tahun terbaik bagi negeri itu dari segi pelaburan.

“Negeri Sembilan berpotensi untuk menarik pelaburan dalam sektor automotif, kimia dan elektronik maju, dipacu oleh MVV 2.0,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon