Focus Dynamics beli 19.37 peratus saham Saudee
21 Jun 2021
Focus Dynamics Group Bhd (Focus Dynamics) membeli 138.05 juta saham terbitan hak Saudee Group Bhd (Saudee) yang mewakili 19.37 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan pengeluar makanan sejuk beku itu.
Pelaburan itu dibuat berdasarkan memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani pada Oktober 2020 antara kedua-dua syarikat itu untuk melancarkan kemudahan pengeluaran berasaskan robotik serta membangunkan kios burger robotik.
“Selepas enam bulan meneroka dan berunding, kedua-dua syarikat memutuskan untuk menjalin kerjasama, dengan Focus Dynamics mengambil kepentingan yang besar sebanyak 19.37 peratus dalam Saudee Group Bhd.
“Dana ini akan digunakan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memperkemaskan operasi Saudee saat ini dengan termasuk lebih banyak proses robotik dalam operasi pembuatannya dan peruntukan tambahan untuk kios burger automatik serta robot.
“Dengan menerokai industri pemprosesan makanan bernilai RM21.76 bilion (yang diunjurkan) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), syarikat memulakan jawatankuasa kerja untuk bersama-sama membangunkan teknologi bagi membolehkan pelancaran kios robot dalam tempoh 12 bulan,” katanya dalam satu kenyataan.
Automasi, digitalisasi serta kecerdasan buatan menjadi tumpuan utama Focus Dynamics dengan konsep makanan dan minuman (F&B).
Dengan pelancaran Mixobot di premis utamanya Lavo pada April 2021, Focus Dynamics bercadang untuk membawa keseluruhan teknologi ke ruang F&B pada masa depan.
Sumber: Berita Harian