Future Forest meterai MoU dengan Salus teroka pengeluaran hemp halal - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Future Forest meterai MoU dengan Salus teroka pengeluaran hemp halal

Future Forest meterai MoU dengan Salus teroka pengeluaran hemp halal

01 Dis 2022

Future Forest International (Malaysia) Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Salus Bioceutical (Thailand) Co.

Ltd. untuk memudahkan teknologi hijau terkini bagi menghasilkan produk hemp halal.

Dalam satu kenyataan, Future Forest berkata MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Safina Yaakob dengan Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Salus Tanadee Pantumkomon di Ekspo Hemp Antarabangsa Asia 2022 di sini pada 30 Nov, 2022.

Turut hadir, Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Bangkok, Mohamed Hafiz Md Shariff dan Pengerusi serta Penasihat Salus Supakorn Sanguanchartsornkra.

Safina yang merupakan juruaudit halal yang diperakui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia berkata, Salus sedang mengintai peluang untuk menerokai pasaran halal yang luas dan ia mempunyai makmal pembuatan dan pengekstrakan berkapasiti tinggi untuk kanabis dan hemp.

“Salus masih baharu dalam industri halal dan mereka melantik saya sebagai penasihat untuk menghasilkan produk hemp halal.

Saya membantu mereka menghasilkan produk halal dan hijau termasuk gentian hemp halal,” katanya kepada Bernama.

Gentian hemp telah digunakan untuk menghasilkan, antara lain, pakaian, beg, kasut, tali dan tali pintal, bahan binaan dan penebat.

Safina berkata pihaknya membayangkan penubuhan syarikat usaha sama di Thailand melalui perkongsian amalan terbaik dan kepakaran teknologi hemp dan kanabis yang bertujuan mempromosi dan memasarkan teh Melayu dengan formulasi hemp/kanabis (Canna Tea Series).

“MoU itu akan melangkaui sains dan kepakaran kerana ia akan memberikan mereka dorongan untuk merasmikan keperluan pasaran dengan bergabung tenaga meneroka industri halal,” katanya.

Sementara itu, Tanadee berkata perkongsian itu akan mengukuhkan keupayaan Salus untuk memasuki pasaran halal.

“Kami mendapati pensijilan halal adalah antara sijil terpenting yang mesti kami capai dan kami berharap kerjasama itu akan membimbing kami untuk mematuhi pensijilan halal bukan sahaja untuk produk kami tetapi untuk penanaman, pengeluaran dan penuaian.

“Kami mesti memastikan produk, ramuan dan proses pembuatan berada pada kualiti tertinggi dan mengikut piawaian halal,” katanya.

Future Forest ialah pakar pengurusan perladangan dan perhutanan yang mampan, dengan tumpuan pada tumbuhan perubatan, herba dan tanaman dengan tujuan, R&D dan penyelesaian pengurusan projek, yang menggabungkan pelbagai perkhidmatan saintifik peringkat tinggi dengan menawarkan penyelesaian yang boleh disesuaikan khusus untuk pelanggan dan rakan kongsi kerjasama di seluruh dunia.

Salus ialah salah satu pengeluar CBD berlesen yang pertama dari Thailand, selepas diberikan Lesen Pengekstrakan Hemp untuk mengendalikan dan mengekstrak bunga hemp.

Ia memiliki salah satu kilang pembuatan kanabis dan hemp terbesar di Thailand. Syarikat itu memberi tumpuan kepada operasi penanaman, pengekstrakan, pembuatan, ujian analitik dan pemasaran produk kanabis dan hemp.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon