Gabenor: Malaysia perlu berusaha tarik pelaburan berkualiti, promosi ekonomi inovatif - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Gabenor: Malaysia perlu berusaha tarik pelaburan berkualiti, promosi ekonomi inovatif

Gabenor: Malaysia perlu berusaha tarik pelaburan berkualiti, promosi ekonomi inovatif

27 Mei 2021

Malaysia perlu meningkatkan usaha untuk menarik pelaburan berkualiti bagi mempromosikan ekonomi yang lebih inovatif, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Malaysia masih kekurangan kemampuan inovasi serta tidak membelanjakan secukupnya bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Malahan, kita berbelanja kurang daripada separuh ekonomi lain seperti Korea Selatan, Taiwan dan Singapura dalam R&D. R&D tempatan banyak tertumpu kepada menghasilkan pengetahuan saintifik tetapi kurang menerapkan pengetahuan itu dan ini mengakibatkan pengkomersialan R&D yang rendah,” katanya semasa webinar Bank Dunia bertemakan Melihat Garis Penamat : Bagaimana Negara Beralih Kepada Berpendapatan Tinggi.

Menurut Nor Shamsiah, Malaysia mempunyai perjalanan yang panjang apabila berubah daripada negara berasaskan komoditi  kepada ekonomi pelbagai  yang merangkumi pembuatan serta perkhidmatan moden.

Ini membantu Malaysia maju menjadi ekonomi berpendapatan sederhana semasa awal 70-an. Namun, sejak itu, perjalanan negara agak perlahan dalam mencapai pertumbuhan yang didorong oleh produktiviti dan inovasi yang menjadi syarat utama sebagai ekonomi berpendapatan tinggi.

Hari ini, produktiviti pertanian dapat ditingkatkan dengan  menerima pakai pertanian moden dan usaha  menangani perubahan iklim menawarkan peluang  dalam menarik pelaburan termasuk mengadakan pekerjaan berkualiti tinggi.

Selain itu, Malaysia berada dalam kedudukan terbaik di Asia Tenggara daripada segi penerimaan Revolusi Perindustrian Keempat.

Beliau juga menyeru  industri dan akademik untuk bekerjasama agar penyelidikan dapat lebih  diorientasikan dalam  memenuhi keperluan ekonomi, supaya  dasar sokongan serta pendanaan dapat ditujukan ke bidang yang mempunyai potensi komersial dan sosial yang paling besar.

Perbelanjaan untuk pendidikan, walaupun tinggi berbanding dengan bidang lain, hasilnya tidak setanding dengan pelaburan yang dibuat.

Beliau menjelaskan sistem pendidikan dan latihan mesti lebih berpandangan ke hadapan dan memenuhi perubahan yang dijangkakan iaitu merangkumi tempoh 20-50 tahun akan datang. Kuncinya adalah untuk mempersiapkan generasi akan datang dengan kemahiran abad ke-21 bagi memenuhi tuntutan ini.

“Sebelah kaki kita sudah pun melangkah ke dalam setiap peluang ini; kita adalah pengeluar utama petrokimia  dan oleokimia, panel solar  serta komponen E&E (elektrik dan elektronik) yang akan menggerakkan mobiliti masa hadapan.

“Kita mesti terlibat dalam perbincangan serius mengenai strategi yang lebih kehadapan bagi membina industri dan syarikat inovatif. Dengan ini, barulah kita dapat meletakkan asas untuk ekonomi Malaysia yang lestari, dinamik serta kompetitif,” katanya.

Sementara itu, gabenor itu mengingatkan bahawa Malaysia akan beralih ke status ‘negara tua’, dengan nisbah kebergantungan orang tua dijangka meningkat kepada 16.6 peratus menjelang 2040.

Berkaitan dengan perkara tersebut, kajian oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 2018 mendedahkan dua daripada tiga pencarum aktif dijangka mempunyai simpanan persaraan yang tidak mencukupi untuk memenuhi pencen minimum RM1,000 sebulan.

Sifat pekerjaan akan berubah, ketika negara beralih ke ekonomi berasaskan pengetahuan, perkhidmatan dan ekonomi sementara, katanya. Pengaturan kerja diramalkan menjadi lebih eksibel dan peruntukan mesti dibuat  bagi memastikan pekerja tetap dilindungi secukupnya. Khususnya, peruntukan untuk waktu kerja yang lebih pendek serta lebih eksibel yang mampu menarik wanita mengambil bahagian dalam tenaga kerja.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon