Gading Kencana meterai MoU kerjasama ladang solar AS$1 bilion dengan March Global Arab Saudi - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Gading Kencana meterai MoU kerjasama ladang solar AS$1 bilion dengan March Global Arab Saudi

Gading Kencana meterai MoU kerjasama ladang solar AS$1 bilion dengan March Global Arab Saudi

03 Feb 2022

Gading Kencana Sdn Bhd, salah satu pengendali ladang solar terbesar di Malaysia, bekerjasama dengan March Global LLC Arab Saudi untuk membangunkan ladang solar bernilai AS$1 bilion (lebih kurang RM4.19 bilion) di rantau Timur Tengah, Afrika dan ASEAN.

Memorandum persefahaman (MoU) itu ditandatangani di Ekspo 2020 Dubai.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Urusan Gading Kencana, Datuk Ir Muhamad Guntor Mansor Tobeng berkata, MoU  itu meliputi aktiviti, urus niaga, perhubungan, kontrak dan kerja yang berkaitan dengan pembangunan ladang solar yang memberi fokus utama di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).

“Rantau MENA dipilih kerana ia mempunyai potensi besar dalam penerokaan tenaga boleh diperbaharui sejajar dengan perkembangan global semasa yang mahu mengurangkan pergantungan kepada sumber tenaga konvensional.

“Selain itu, MoU ini juga merupakan satu pengiktirafan kepada syarikat dari Malaysia yang membuktikan Malaysia mempunyai kepakaran dalam bidang tenaga boleh diperbaharui khususnya solar yang mampu memainkan peranan di peringkat global melalui kerjasama tersebut,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama pertama antara Gading Kencana dan March Global adalah untuk membangunkan ladang solar di Khulais, Arab Saudi dengan kapasiti 100 megawatt diikuti penerokaan potensi pelaburan di Ghana dan beberapa negara di Afrika Utara.

Bagi rantau ASEAN pula, beliau berkata Gading Kencana dan March Global menyasarkan untuk membangunkan ladang solar di Vietnam.

Muhamad Guntor berkata, MoU itu membolehkan syarikat Malaysia seperti Gading Kencana mengorak langkah ke pentas antarabangsa dengan memanfaatkan perkembangan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui global dengan kapasiti penjanaan baharu mencecah hampir 280 gigawatt pada 2020, kira-kira 45 peratus lebih tinggi dari 2019.

Beliau berkata, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), prestasi itu menandakan peningkatan tertinggi tahun ke tahun sejak 1999.

“Kapasiti penggunaan tenaga elektrik global daripada sumber tenaga boleh diperbaharui diunjurkan meningkat lebih daripada 60 peratus antara 2020 dan 2026, mencecah lebih 4,800 gigawatt.

“Tambahan kapasiti yang sangat tinggi akan menjadi ‘normal baharu’ pada 2022,’’ tambahnya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon