Gamuda ambil alih 30 peratus kepentingan dalam ERS Energy pada harga RM200 juta
08 Dis 2022
Gamuda Bhd mengambil alih 30 peratus kepentingan ekuiti dalam ERS Energy Sdn Bhd, sebuah firma pembinaan dan pentauliahan kejuruteraan tenaga solar, pada harga tunai RM200 juta.
Gamuda berkata ia akan melanggan 4.29 juta saham dalam ERS Energy, yang kini menjadi rakan usaha sama nya dalam NEDA Pekan Sdn Bhd untuk membangunkan loji kuasa solar 39 megawatt di bawah rangka kerja Susunan Penghantaran Baharu Yang Dipertingkatkan (NEDA).
Apabila selesai pengambilalihan itu, ERS Energy akan menjadi syarikat bersekutu 30 peratus dan Gamuda akan secara efektif memegang 64 peratus daripada NEDA Pekan, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Syarikat kejuruteraan, hartanah dan infrastruktur itu berkata hasil daripada langganan saham itu akan digunakan untuk pelaburan langsung ERS Energy ke dalam aset pertambahan tunai penjanaan solar, termasuk NEDA Pekan serta modal kerja untuk peluang tenaga boleh diperbaharui dan pengembangan dalam pasaran serantau.
“Pengambilalihan yang dicadangkan itu akan membolehkan kumpulan Gamuda mempercepatkan pelan perniagaan tenaga boleh diperbaharuinya dan berfungsi sebagai batu loncatan untuk kumpulan dalam mengejar peluang berkaitan tenaga yang lebih luas oleh trajektori peralihan tenaga global termasuk penyimpanan tenaga, grid pintar dan infrastruktur yang berkaitan.
“Pelaburan dan perkongsian dengan ERS Energy akan menjadi penting untuk membolehkan kumpulan Gamuda mengambil bahagian secara aktif dalam peralihan dunia kepada sifar bersih, selaras dengan Pelan Hijau Gamuda yang komited untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 30 peratus pada 2025 dan 45 peratus pada 2030,” katanya.
Sumber: Bernama