Gas asli main peranan penting dalam peralihan tenaga – PM Muhyiddin
03 Dis 2020
Gas asli akan terus membantu merapatkan peralihan tenaga yang tidak dapat dielakkan dan menangani isu perubahan iklim yang dihadapi dunia, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata campuran tenaga Malaysia telah disokong oleh gas asli selama beberapa dekad dan untuk jangka masa yang panjang, tetapi negara masih banyak yang perlu dilakukan dalam perjalanannya ke arah masa depan yang mampan.
Bagaimanapun, beliau menyatakan keyakinan dari segi pemikiran yang kolektif dan keupayaan merealisasikan peralihan tenaga, memastikan keperluan hari ini dipenuhi dan pada masa sama menangani cabaran yang akan datang.
“Kami berharap gas asli dapat memainkan peranan penting dalam peralihan tenaga ini, menawarkan sumber tenaga asas yang selamat, mampu milik dan mampan bersama dengan sumber tenaga boleh diperbaharui yang berkembang, tetapi sering tidak sekata.
“Sinergi ini memberi peluang pelaburan yang besar, bukan hanya di peringkat huluan tetapi seluruh rantaian nilai,” katanya pada Forum Tenaga Antarabangsa (IEF) Ke-7 – International Gas Union (IGU) Ministerial Gas Forum Virtual Roundtable yang diadakan secara maya hari ini.
Muhyiddin berkata prospek jangka panjang untuk gas lebih cerah daripada bahan api fosil lain berikutan kosnya yang rendah dan pelepasan daripada pengeluaran yang lebih rendah.
Bagi mendapatkan kelebihan daya saing sebenar dalam pasaran yang tidak menentu, katanya penggiat gas perlu memberi tumpuan semula kepada usaha mereka dalam kecekapan modal, pengoptimuman rantaian bekalan, pembangunan pasaran hiliran, mengurangkan intensiti karbon serta digital dan analisis lanjutan.
“Jika berjaya dilakukan, saya yakin gas dapat menghadapi pasaran yang tidak dapat dijangka dan mencari peluang untuk pertumbuhan yang lebih pesat bukan hanya di Malaysia, tetapi pasaran global secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata teknologi akan memainkan peranan yang penting dalam merealisasikan masa depan yang positif untuk gas.
Katanya pengeluar gas boleh menggunakan teknik digital dan analisis lanjutan untuk merealisasikan potensi nilai yang tersembunyi secara signifikan.
Hanya melalui pelaburan teknologi ini, peranan gas asli dalam mengurangkan intensiti karbon dalam sektor tenaga berbanding campuran tenaga lain dapat dikekalkan dan berkembang dengan menawarkan cadangan nilai yang menarik kepada pengguna, katanya.
Muhyiddin berkata kerajaan, dalam merancang dan melaksanakan dasar, memainkan peranan penting dalam membentuk peluang.
“Banyak akan bergantung kepada kapasiti pelabur untuk menyediakan penyelesaian baharu dan menghadapi risiko dalam hala tuju masa depan pasaran gas dan teknologi.
“Sehubungan itu, kerajaan akan menyediakan insentif kepada pihak berkepentingan utama untuk mempercepatkan pembangunan, pengkomersialan dan pengeluaran teknologi baharu untuk peralihan tenaga,” katanya.
Perdana Menteri berkata insentif pengawalseliaan mungkin memainkan peranan yang lebih berkesan dalam menggalakkan inovasi teknologi seperti dasar “regulatory sandboxes” yang dapat mewujudkan ruang selamat bagi pihak berkepentingan dalam inovasi tenaga untuk menguji penyelesaiannya dalam persekitaran kehidupan, tetapi terkawal, tanpa tertakluk kepada syarat peraturan biasa.
Beliau turut berkata sebarang bantuan kewangan selanjutnya perlu digunakan dengan bijak.
Ini ialah kerana beberapa pengalaman terdahulu mengenai subsidi boleh diperbaharui di pasaran yang lebih maju menunjukkan ia boleh membebankan pembayar cukai, kapasiti berlebihan dan akhir sekali, kos yang tidak dapat ditanggung untuk pengguna apabila dihentikan, sekiranya tidak dilaksanakan dengan berhati-hati.
Menyentuh mengenai usaha Malaysia dalam sektor tenaga, Muhyiddin berkata satu Pelan Tindakan Gas Asli (NGR) kini sedang dibangunkan dan akan menjadi bahagian penting keseluruhan Dasar Tenaga Negara (NEP) yang akan diumumkan pada suku pertama tahun hadapan.
Oleh itu, dokumen-dokumen inilah yang akan berfungsi sebagai kerangka dasar penting dalam sektor tenaga di bawah Rancangan Malaysia ke-12, 2021-2025, katanya
“NGR akan berusaha untuk mengoptimumkan antaranya nilai sumber gas asli, meningkatkan keselamatan bekalan dan akses kepada kos gas berdaya saing,” katanya.
Muhyiddin turut maklum pelbagai inisiatif dan infrastruktur telah dibangun untuk meningkatkan lagi penggunaan gas di dalam negara dan melangkaui luar pesisirnya.
Inovasi global Malaysia dalam gas ialah siapnya kemudahan gas asli cecair terapung (FLNG) operasi pertama di dunia pada tahun 2016 dengan kapasiti menghasilkan 1.2 juta tan LNG setahun yang membolehkannya mengoptimumkan medan gas yang terkandas sebelum ini.
Ini diikuti oleh FLNG kedua yang dijangka beroperasi secara komersial tahun depan, tambah beliau.
Sumber: Bernama