Hab perdagangan koko harap tarik pelabur asing
10 Okt 2021
Hab perdagangan koko di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini, dilihat mampu menarik minat pelabur asing untuk melabur di Malaysia sekali gus menambah pendapatan negara.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata buat masa sekarang, Malaysia lebih banyak mengimport biji koko dari negara-negara Afrika dan memprosesnya dalam negara sebelum mengeksport kembali.
“Kita cuba lihat potensi untuk membawa pelabur luar masuk bagi memulakan syarikat atau kilang coklat di Malaysia dan menjadikan hab ini sebagai pusat pengedaran kepada Asean dan negara-negara lain,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat hab berkenaan di sini hari ini.
Buat masa ini, terdapat empat buah syarikat tempatan yang menjadikan PTP sebagai hab, antara lain melibatkan pengisaran biji koko sebanyak 460,000 metrik tan setahun. Zuraida berkata potensi besar dapat dilihat daripada segi pengisaran biji koko berbanding penanaman koko sendiri dalam negara memandangkan kerumitan dalam penanaman pokok itu. Di Malaysia hanya 5,200 penanam koko melibatkan anggaran pengeluaran sekitar 1,000 metrik tan.
“Industri koko telah menyumbang sebanyak RM6.2 bilion kepada pendapatan eksport negara pada 2020. Kementerian yakin unjuran pendapatan eksport negara pada tahun ini sebanyak RM6.5 bilion mampu dicapai,” kata Zuraida.
Sumber: Bernama