Hubungan Malaysia-AS dijangka kekal kukuh di bawah pentadbiran Biden
17 Feb 2021
Hubungan dua hala Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) dijangka kekal teguh dan dapat memberi manfaat bersama di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden.
Penganalisis Thomas Daniel berkata ini kerana hubungan itu dikendalikan oleh diplomat dan teknokrat profesional yang mengutamakan keberkesanan dan peranan masing-masing ke arah keakraban hubungan.
“Apa yang bagusnya mengenai hubungan AS-Malaysia adalah ia tidak begitu menonjol tetapi cukup teguh untuk menempuh sebarang perubahan (baik di Washington) DC atau Putrajaya.
“Untuk perspektif serantau yang lebih luas, Malaysia mendapat manfaat menerusi langkah proaktif, produktif dan konstruktif berhubung kehadiran Amerika di Asia Pasik,” katanya kepada Bernama.
Ibarat peribahasa bumi mana tidak ditimpa hujan, masalah hubungan dua hala mampu diuruskan dengan baik oleh kedua-dua pihak seperti yang pernah dialami sebelum ini.
Malaysia dan AS menjalin hubungan diplomatik rasmi pada 1957 dan sejak April 2014, kedua-dua negara meningkatkan hubungan ke peringkat Rakan Komprehensif.
Thomas yang bertugas selaku Felo Kajian Dasar dan Keselamatan Antarabangsa, Institut Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia berkata, AS mungkin lebih banyak berunding dengan negara ASEAN yang berdepan isu tuntutan sempadan bertindih di Laut China Selatan serta anggota ASEAN lain kerana Washington kini kelihatan lebih proaktif dalam komitmen pendekatan multilateral.
“Pentadbiran Biden sudah pun membayangkan pendekatan ke arah menumpukan usaha mengukuhkan perikatan. Dunia boleh menjangkakan untuk melihat AS akan
menjadi lebih proaktif dan sedia berhubung, terutama di pentas multilateral serta mekanisme sedia ada,” katanya.
Katanya, penting bagi Pentadbiran Biden untuk meningkatkan lagi hubungan dengan ASEAN, bukan saja untuk mengekang China, tetapi sebagai rakan aktif bagi badan serantau itu, terutama dalam mengemukakan solusi praktikal dan ruang mengukuhkan kerjasama.
Meskipun tidak menyatakan secara khusus rantau ASEAN ketika menyampaikan ucapan sulung dasar luarnya pada 4 Februari lalu, Biden menyifatkan China sebagai pesaing paling serius kepada AS dan menegaskan, pentadbirannya akan berdepan dengan cabaran yang dilontarkan negara Tembok Besar itu.
“Kita akan meningkah ancaman tekanan ekonomi China, menongkah arus agresif mereka menerusi langkah membangkitkan isu pencabulan China ke atas hak asasi, isu harta intelektual dan tadbir urus global,” kata Biden.
Mengulas isu Laut China Selatan, Thomas berkata, ia akan terus menjadi fokus utama di bawah pentadbiran baharu AS dan pertelingkahan itu tetap terangkum dalam saingan strategik AS-China, menyempitkan lagi opsyen untuk negara ASEAN terutama negara yang terbabit dengan isu pertindihan sempadan.
“Satu daripada secebis perkara yang menyaksikan kesepakatan kedua-dua parti AS ketika ini adalah persepsi wujud ancaman daripada China yang kelihatan mahu memperluaskan impian terpendam kuasa hegemoni mereka,” katanya.
Jadi kata beliau, Amerika juga mungkin meningkatkan operasi pelayaran dan penerbangan (FONOPS) di perairan serta wilayah yang menjadi pertikaian.
Pada masa sama, AS juga dijangka meningkatkan komitmen amnya kepada Filipina, katanya.
Konik Laut China Selatan membabitkan tuntutan sempadan bertindih empat negara ASEAN – Brunei, Malaysia, Filipina dan Vietnam.
China dan Taiwan turut mengemukakan tuntutan mereka di Laut China Selatan, kawasan yang kaya dengan sumber marin, hidrokarbon dan mineral selain menjadi laluan pelayaran penting.
Bagaimanapun, konik menjadi semakin rumit apabila perbalahan antara China dan Amerika tegang sejak beberapa tahun lalu dengan kedua-dua belah pihak saling menuduh cuba mempamerkan taring dan pengaruh menerusi kuasa militer.
Sumber: Bernama