IBM komited beri kemahiran kepada 30 juta orang di seluruh dunia menjelang 2030
15 Okt 2021
IBM telah melancarkan komitmen dan pelan global bagi menyediakan 30 juta orang dengan kemahiran baharu yang diperlukan untuk pekerjaan masa depan menjelang 2030.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat teknologi yang beribu pejabat di New York berkata bagi mencapai tujuan tersebut, IBM telah membuat pelan halatuju yang jelas dengan 170 rakan kongsi baharu dan pengembangan program di lebih dari 30 buah negara di seluruh Amerika, Asia Pasifik, Eropah, Timur Tengah dan Afrika.
Usaha itu akan memanfaatkan program IBM sedia ada dan platform pembinaan kerjaya untuk memperluaskan akses pendidikan dan permintaan terhadap peranan teknikal.
Ia berkata pelan itu bergantung kepada kombinasi programnya yang meluas dan merangkumi kerjasama dengan universiti dan entiti utama kerajaan, termasuk agensi-agensi pekerjaan.
“Rakan kongsi juga meliputi organisasi bukan kerajaan, terutamanya yang memfokuskan kepada golongan seperti belia, wanita, dan veteran tentera,” katanya.
Di Malaysia, syarikat itu berkata baru-baru ini telah mengumumkan kerjasama dengan Politeknik Balik Pulau (PBU) di Pulau Pinang untuk menubuhkan IBM SkillsBuild@PBU Learning Institute, yang diharapkan dapat memberi manfaat kepada hampir 800 pelajar di politeknik setiap tahun.
“Di bawah kerjasama itu, PBU akan memanfaatkan platform IBM SkillsBuild untuk mengakses kandungan pembelajaran yang diiktiraf secara percuma, lencana bagi memperakui pembelajaran dan bimbingan pembangunan kerjaya daripada pakar IBM,” katanya.
Melalui IBM SkillsBuild @PBU Learning Institute, syarikat itu berkata politeknik menyasarkan bagi melahirkan minda golongan pemuda yang paling cemerlang di negara ini dan memberi mereka peluang untuk mempelajari kemahiran yang relevan dan berkembang maju dalam ekonomi digital di masa depan.
Sumber: Bernama