Iconic Worldwide kembangkan rangkaian produk PPE - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Iconic Worldwide kembangkan rangkaian produk PPE

Iconic Worldwide kembangkan rangkaian produk PPE

20 Ogo 2021

Iconic Worldwide Bhd (Iconic Worldwide) telah mengembangkan rangkaian produk peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk merangkumi alat perubatan diagnostik in-vitro (IVD) dan pelitup muka ‘copper oxide’ selaras dengan lonjakan ke atas permintaan baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Iconic Worldwide berkata ini adalah sebahagian daripada usahanya  untuk meningkatkan sumbangan pendapatan daripada segmen PPE syarikat, yang menyumbang 15.19 peratus daripada jumlah pendapatannya pada tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2021.

“Cabang penjagaan kesihatannya, Iconic Medicare Sdn Bhd telah bekerjasama dengan pengeluar peralatan asli (OEM) dari Amerika Syarikat untuk alat perubatan seperti ‘Coronavirus Ag Rapid Test Cassette’ (ujian calitan), COVID-19 Ag Rapid Test Cassette (ujian cecair); dan ‘SARS-CoV-2 Neutralising Antibody Rapid Test Cassette’ (seluruh darah, serum, plasma),” katanya.

Pengarah Urusan Datuk Tan Kean Tet berkata kumpulan kini sedang memohon mendapatkan kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) untuk membolehkan produk berkenaan dijual di Malaysia.

“Permintaan untuk kit ujian pada masa ini sangat tinggi kerana kilang melakukan pemeriksaan saringan secara mingguan dan masyarakat umum pula menggunakannya di rumah dengan lebih kerap untuk menguji kesihatan diri.

“Kami menyasar untuk melancarkan produk ini pada suku keempat tahun ini,” tambah beliau.

Selain itu, Iconic Worldwide berkata unit penjagaan kesihatannya telah mempelbagaikan rangkaian produk pelitup muka dengan menghasilkan jenis pelitup pelindung baharu seperti KF99 dan KN99.

Ia dilengkapi dengan struktur pelitup 3D untuk perlindungan yang lebih baik dan pelindung penerobosan berganda yang meningkatkan prestasi penapisan keseluruhan. 

“Ini adalah alat pelindung pernafasan piawaian tertinggi yang tersedia, oleh itu dengan meningkatnya jumlah kes baru-baru ini, kami melihat permintaan tinggi untuk produk ini dalam pasaran,” kata Tan.

Beliau menambah pengembangan rangkaian produk PPE ini diharap dapat memberikan sumbangan positif kepada keseluruhan pendapatan masa depan dan juga pendapatan sesaham kumpulan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon