Indeks Harga Pengeluar pengeluaran tempatan naik 11.7 peratus tahun ke tahun pada Julai 2021 – Perangkaan
26 Ogo 2021
Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia untuk pengeluaran tempatan meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun pada Julai 2021, disumbangkan terutamanya oleh harga komoditi utama iaitu minyak mentah (64.4 peratus), buah tandan segar (57.3 peratus) dan minyak sawit (42.7 peratus).
IHPR yang mengukur kos barangan di pintu kilang menokok 11.5 peratus tahun ke tahun pada Jun 2021.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan yang dicatatkan itu didorong oleh lonjakan dalam indeks perlombongan sebanyak 57.7 peratus tahun ke tahun berikutan harga gas asli yang lebih tinggi serta kenaikan harga berterusan bagi komoditi minyak mentah.
Ini diikuti oleh indeks pertanian, perhutanan dan perikanan yang merekodkan pertumbuhan dua digit 31.5 peratus tahun ke tahun (Jun 2021: 29.8 peratus) disumbangkan oleh kenaikan harga komoditi buah tandan segar dan komoditi lain.
Di samping itu, kenaikan indeks pembuatan dipengaruhi oleh kenaikan harga komoditi utama dan komoditi berkaitan pembinaan (7.1 peratus), katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dari segi indeks utiliti, Mohd Uzir berkata bekalan air dan bekalan elektrik serta gas masing-masing meningkat 1.3 peratus dan 0.2 peratus tahun ke tahun.
Bagi perbandingan bulan ke bulan, beliau menambah IHPR pengeluaran tempatan merekodkan peningkatan marginal 0.6 peratus pada Julai 2021 berbanding 0.2 peratus pada bulan sebelumnya.
“Pertumbuhan positif ini disokong oleh indeks perlombongan yang tumbuh 3.9 peratus bulan ke bulan, diikuti indeks bagi pertanian, perhutanan dan perikanan serta pembuatan yang masing-masing meningkat 2.2 peratus dan 0.2 peratus bulan ke bulan,” katanya.
Namun begitu, Mohd Uzir berkata indeks bekalan elektrik dan gas serta bekalan air mencatatkan penurunan 0.2 peratus bulan ke bulan.
Sementara itu, beliau berkata peningkatan IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan disumbangkan terutamanya oleh indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya yang meningkat 35.8 peratus tahun ke tahun.
“Pada masa yang sama, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen turut meningkat 10.5 peratus tahun ke tahun.
Namun begitu, indeks barang siap mencatatkan penurunan 0.4 peratus tahun ke tahun, katanya.
Sumber: Bernama