Indeks nilai seunit eksport, import catat pertumbuhan positif Jun 2021
04 Ogo 2021
Indeks nilai seunit eksport dan import Malaysia bulanan kekal mencatatkan pertumbuhan positif pada Jun 2021, masing-masing pada 1.9 peratus dan 0.5 peratus di sebalik ketidaktentuan aktiviti ekonomi, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) pada Rabu.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport yang tinggi ini disumbang oleh kenaikan indeks minyak galian (7.3 peratus), minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (3.5 peratus) dan alat jentera serta kelengkapan pengangkutan (0.8 peratus).
“Sementara itu, indeks volum eksport merekodkan peningkatan 12.2 peratus pada bulan yang sama, didorong oleh pertumbuhan indeks bahan kimia (29.6 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (15.4 peratus) dan minyak galian (11.3 peratus).
“Indeks volum eksport pelarasan bermusim mengembang 21.2 peratus daripada 142.6 mata kepada 172.8 mata,” tambahnya.
Berbanding tahun sebelumnya, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport meningkat 12.8 peratus.
Mengenai indeks nilai seunit import, Mohd Uzir berkata, peningkatan pada Jun 2021 dipacu oleh pertumbuhan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (4.4 peratus), minyak galian (1.6 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (0.7 peratus).
“Sementara itu, indeks volum import turut naik 5.5 peratus pada Jun 2021 berbanding bulan sebelum dengan kenaikan indeks volum import disumbang oleh peningkatan indeks minyak galian (20.5 peratus), makanan (13.0 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (3.0 peratus).
“Indeks volum import pelarasan bermusim pada Jun 2021 menambah 14.5 peratus daripada 149.0 mata kepada 170.6 mata,” katanya.
Sumber: Sinar Harian