Indikator ekonomi utama Malaysia tunjukkan momentum pemulihan memberangsangkan
26 Nov 2021
Indikator ekonomi utama Malaysia menunjukkan momentum pemulihan yang menggalakkan bagi suku keempat 2021 dan tempoh 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merekodkan penyusutan 4.5 peratus pada suku ketiga namun peralihan berterusan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah mengurangkan impak terhadap penguncupan KDNK Malaysia yang dicerminkan menerusi penyusutan kecil 1.1 peratus pada September 2021 berbanding Ogos 2021 (-4.7 peratus) dan Julai (-7.6 peratus).
“Dari segi penawaran, semua sektor menyusut pada suku ini, manakala dari segi permintaan, perbelanjaan penggunaan akhir swasta dan pembentukan modal tetap kasar mencatatkan penurunan, kecuali perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan yang kekal positif pada suku ketiga 2021.
“Ekonomi Malaysia meningkat 3.0 peratus bagi tempoh sembilan bulan dari Januari hingga September 2021 berbanding negatif 6.4 peratus tahun yang lalu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ia bagi mengulas Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 11/2021 yang diterbitkan DOSM.
MESR ini menumpukan senario ekonomi pada September 2021 dan prestasi ekonomi bagi suku ketiga tahun ini serta beberapa sorotan statistik akan datang bagi Oktober 2021.
Laporan ini juga dilengkapi dengan artikel khas bertajuk ‘COVID-19: Kesan Krisis Kesihatan Global Terhadap Perdagangan Barangan Malaysia’ yang memperihalkan prestasi perdagangan dan tinjauan perdagangan pascapandemik terhadap bekalan barangan terpilih yang berkaitan COVID-19.
Mengenai perdagangan luar negara, Mohd Uzir berkata Imbangan Akaun Semasa (CAB) Malaysia pada suku ketiga 2021 merekodkan lebihan RM11.6 bilion, berikutan defisit yang lebih tinggi dalam akaun Pendapatan.
Beliau berkata akaun barangan mencatatkan lebihan lebih tinggi sebanyak RM41.2 bilion apabila eksport menyusut pada kadar yang lebih perlahan berbanding import.
“Dari segi prestasi pelaburan, pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia terus mencatatkan aliran masuk RM12.8 bilion daripada RM8.2 bilion manakala pelaburan langsung Malaysia di luar negara (DIA) berubah kepada aliran masuk bersih RM4.7 bilion berbanding aliran keluar bersih RM4.0 bilion pada suku sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata prestasi jumlah dagangan Malaysia pada suku ketiga 2021 meningkat 18.1 peratus kepada RM546.2 bilion berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.
Pertumbuhan kukuh ini disumbangkan oleh pembukaan semula aktiviti ekonomi domestik dan permintaan luaran yang berterusan, katanya.
Beliau berkata pada tempoh yang sama, import meningkat 21.0 peratus mengatasi pertumbuhan eksport sebanyak 15.8 peratus yang masing-masing mencatatkan RM242.5 bilion dan RM303.7 bilion.
Mohd Uzir berkata Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) merekodkan penurunan 1.1 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2021 berikutan pertumbuhan negatif yang dicatatkan dalam semua komponen IPP iaitu perlombongan, pembuatan dan elektrik.
Beliau berkata bagaimanapun bagi September 2021, IPP pulih kepada 2.5 peratus tahun ke tahun, terutama didorong oleh peningkatan 4.0 peratus dalam indeks pembuatan.
Nilai jualan sektor pembuatan pada suku ketiga 2021 meningkat 6.4 peratus tahun ke tahun kepada RM381.8 bilion dan mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih baik iaitu 11.6 peratus pada September 2021.
“Sementara itu, hasil sektor perkhidmatan merosot 8.7 peratus tahun ke tahun kepada RM391.0 bilion pada suku ketiga tahun 2021 dipengaruhi oleh permintaan yang lebih perlahan berikutan kebanyakan negeri masih dalam Fasa Satu dan fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada hampir keseluruhan suku tahun tersebut.
Mengenai harga, Mohd Uzir berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan peningkatan 2.2 peratus pada suku ketiga 2021 manakala Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan meningkat 11.8 peratus tahun ke tahun.
“Mengenai pasaran buruh pada suku ketiga 2021, bilangan penduduk bekerja mencatatkan kenaikan 1.2 peratus tahun ke tahun untuk merekodkan 15.27 juta orang.
Kadar pengangguran kekal pada 4.7 peratus sementara bilangan penganggur meningkat marginal 0.2 peratus kepada 746.2 ribu orang,” katanya.
Indeks Pelopor (IP) kembali kepada pertumbuhan positif 0.6 peratus pada September 2021 selepas merekodkan penurunan 2.3 peratus pada Ogos.
“Secara keseluruhannya, ini menandakan prospek ekonomi yang lebih baik pada bulan-bulan akan datang. Ini adalah selari dengan penemuan terkini Statistik Kecenderungan Perniagaan yang menunjukkan keyakinan perniagaan bertambah baik pada suku keempat 2021.
“Keyakinan perniagaan mencatatkan penurunan marginal terutamanya disumbangkan oleh sektor industri dan perdagangan borong dan runcit di mana petunjuk keyakinan bagi sektor-sektor tersebut akan pulih kepada trajektori positif,” katanya.
Mohd Uzir berkata pengumuman belanjawan yang bercirikan pengembangan bagi 2022 dengan tema “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” dijangka dapat meminimumkan tekanan ekonomi dan memacu pertumbuhan ekonomi ke landasan yang betul, di samping pelaksanaan program vaksinasi berterusan dan pembukaan semula perjalanan rentas negeri.
Beliau berkata walaupun prestasi ekonomi keseluruhan mencatatkan penyusutan pada suku ketiga 2021, kebanyakan petunjuk ekonomi menunjukkan peningkatan secara beransur-ansur terutama pada September 2021.
Beliau berkata secara keseluruhannya, kelonggaran sekatan secara berperingkat dijangka menggalakkan pemulihan segmen ekonomi yang terjejas seperti pelancongan, kesenian dan rekreasi serta pengangkutan.
“Bajet 2022 yang diumumkan baru-baru ini dirangka ke arah komitmen untuk mencapai pemulihan penuh pada 2022. Inisiatif strategik jangka pendek yang merangkumi langkah-langkah untuk memastikan bantuan berterusan sampai kepada kumpulan dan sektor yang terjejas akan meningkatkan pemulihan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata melangkah ke hadapan, menerusi inisiatif-inisiatif ini ditambah dengan rancangan jangka sederhana yang lebih holistik iaitu Rancangan Malaysia Ke12, ia dapat merangsang pengembangan ekonomi seterusnya.
Sumber: Bernama