Industri farmaseutikal catat pelaburan RM397.67 juta
04 Feb 2022
Industri farmaseutikal Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM397.67 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama 2021, mengatasi nilai tertinggi yang diluluskan bagi setahun penuh pada 2017.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjelaskan sektor itu juga merekodkan angka eksport yang mengagumkan iaitu RM2.42 bilion bagi 2021, peningkatan 24 peratus daripada angka pada 2020.https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.501.0_en.html#goog_889287500https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.501.0_en.html#goog_889287502https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.501.0_en.html#goog_889287504
Menurut kenyataan pada Jumaat, MIDA menjelaskan semasa lawatan ke Biocon Sdn Bhd di Johor pada 26 Januari lalu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong berkata pihaknya sentiasa mementingkan pembangunan industri farmaseutikal, terutama ketika negara memasuki norma baharu susulan pandemik COVID-19.
“Permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan perubatan dan penjagaan kesihatan merancakkan perkembangan pesat industri farmaseutikal,” katanya dipetik dalam kenyataan itu.
Beliau berkata, MIDA juga terus menarik dan menyasarkan pelaburan teknologi berkualiti tinggi dalam industri farmaseutikal untuk usaha mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global.
“Penubuhan Biocon dan operasinya yang semakin berkembang adalah bukti kelebihan daya saing negara kita. (Ia juga mewakili) satu komitmen untuk memberikan nilai kepada pelabur kita selaras dengan kerangka Aspirasi Pelaburan Nasional dan Rancangan Malaysia ke-12,” katanya.
Pada 2010, Biocon, yang juga antara syarikat biofarmaseutikal Asia, memilih Malaysia untuk mewujudkan kemudahan pembuatan insulin bersepadu terbesar di Asia di Kluster Logistik Perindustrian Selatan Johor.
Projek itu, bernilai lebih AS$350 juta, adalah antara pelaburan farmaseutikal asing terbesar di Malaysia, serta kemudahan pembuatan insulin pertama dan satu-satunya di negara ini.
Ia juga adalah kemudahan pembuatan dan penyelidikan luar negara pertama syarikat tersebut dan mempunyai kira-kira 800 pekerja.
Selain itu, ia adalah kemudahan biologi steril pertama di Malaysia yang diperakui oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat.
Biocon membekalkan produk insulin ke Malaysia dari kemudahan ini sejak lima tahun lalu.
Ban Hong berkata, kerjasama Biocon-Malaysia akan menawarkan keluaran sampingan daripada aktiviti penyelidikan dan pembangunan untuk merangsangkan pertumbuhan dalam inovasi produk dan pilihan kerjaya baharu.
Dalam lawatan itu, Biocon menunjukkan rancangan peluasannya untuk menjadikan kemudahan tersebut sebagai hab pembuatan insulin yang memenuhi permintaan global.
Sumber: Bernama