Industri minyak sawit kekalkan prestasi positif pada 2022 – Zuraida
05 Jan 2022
Industri minyak sawit, penyumbang keempat terbesar kepada ekonomi, dijangka mengekalkan prestasi 2021 pada tahun ini disokong oleh pelbagai usaha pemasaran dan promosi yang akan dijalankan oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta agensinya.
Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata beliau optimis bahawa industri itu akan dapat mencapai matlamatnya dengan pengeluaran minyak sawit yang dijangka mencapai kira-kira 20 juta tan.
“Kita masih mempunyai potensi untuk mencapai jumlah itu dan kita masih mampu memenuhi pasaran minyak sayuran global.
“Dengan bekalan yang rendah dalam persekitaran permintaan yang tinggi, kita masih dapat menikmati harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi,” katanya kepada pemberita pada Reach and Remind, Friends of the Industry Seminar 2022 and Dialogue anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) hari ini.
Beliau berkata kejayaan dan pencapaian pada tahun lepas disertai dengan cabaran baharu.
“Susulan penutupan sempadan di peringkat global akibat COVID-19, mendapatkan tenaga kerja asing menjadi sukar,” katanya.
Beliau berkata pengeluaran minyak sawit terjejas teruk sejak kekurangan pekerja di ladang, dianggarkan sebanyak 75,000, menyebabkan aktiviti penuaian tertangguh dan mengurangkan kualiti tandan buah yang dituai.
Bagi mengatasi masalah itu, katanya kerajaan bersetuju untuk mengambil 32,000 pekerja asing dengan pematuhan ketat SOP yang digariskan.
Katanya walaupun terdapat halangan sama yang mungkin dihadapi oleh industri pada tahun ini, penggiat industri optimis mereka akan dapat mencapai tahap pengeluaran pada tahun ini untuk memenuhi pasaran semasa seperti India dan China serta menyokong hasrat kerajaan untuk menembusi pasaran baharu.
Sementara itu, Zuraida berkata 2022 juga akan menjadi tahun untuk kementerian memperkukuh usaha promosinya bagi pengiktirafan global Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai standard kemampanan Malaysia.
“Program pemasaran dan promosi 360 darjah untuk memastikan pemahaman mengenai MSPO akan dijalankan, daripada libat urus dengan pegawai utama kerajaan, seminar dan perbincangan dengan persatuan perdagangan serta sektor hotel, restoran dan kafe (HORECA) serta jerayawara dan pengiklanan media sosial untuk pengguna umum.
“Kami melihat ini sebagai usaha jangka panjang yang akan bermula dengan negara-negara jiran kita dan impaknya akan dapat dilihat pada produk yang membawa logo MSPO kita, satu petunjuk bahawa standard kemampanan telah mendapat kedudukan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata pada Mei ini, empat negara baharu — Colombia, Ghana, Honduras dan Papua New Guinea, akan menjadi ahli penuh Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).
Katanya penyertaan ahli baharu akan meningkatkan kredibiliti dan keupayaan organisasi itu untuk meneruskan kepentingan minyak sawit dan menyuarakan pendiriannya terhadap layanan tidak adil Kesatuan Eropah terhadap industri minyak sawit.
“Kami berharap CPOPC akan menekankan keperluan kerjasama untuk mencapai matlamat bersama dan mempertahankan industri daripada persepsi negatif yang berulang dan dakwaan palsu demi menjaga kepentingan negara anggotanya,” katanya.
Sehingga November 2021, jumlah eksport minyak sawit Malaysia dan derivatifnya sebanyak 22.14 juta tan dan berikutan harga minyak sawit yang tinggi, jumlah hasil meningkat sebanyak 40 peratus kepada RM91.4 bilion berbanding 2020.
India mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi nombor satu untuk eksport minyak sawit Malaysia dengan 3.2 juta tan.
Sumber: Bernama