Intel, MIDA meterai kerjasama tingkat pembangunan bakat
09 Dis 2021
Pengeluar cip terbesar dunia, Intel Corporation, melalui anak syarikatnya, Intel Malaysia Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk meningkatkan pembangunan bakat dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) negara.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), berkata skop MoU itu akan merangkumi pembangunan modal insan untuk tenaga kerja masa hadapan, kerjasama penyelidikan dan pembangunan, pengembangan sumber tempatan, memacu penggunaan Industri 4.0 oleh pemain ekosistem E&E serta pelaksanaan Program Kesediaan Digital Intel.
“MoU ini adalah rangka kerja bagi memudahkan penyemaian ekosistem bakat teknologi yang akan berkembang maju dan akhirnya menyediakan tenaga kerja Malaysia untuk dunia digital serta kecerdasan buatan yang semakin meningkat,” kata MITI dalam satu kenyataan hari ini.
MIDA adalah agensi di bawah kementerian itu.
MITI berkata, kerjasama strategik itu akan meneroka pembangunan program penyelidikan dan pembangunan bakat jangka panjang antara Intel serta institusi pengajian tinggi Malaysia yang terpilih dalam membina kumpulan bakat yang mampan dan berdaya saing.
“MoU ini juga bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui kerjasama akademik dan industri yang lebih besar dengan menyediakan graduan bagi memenuhi keperluan industri,” katanya.
Sebagai tanda kepada kerjasama terjalin itu, Intel dan MIDA akan terus berganding bahu dalam penyelidikan teknologi termasuk pembangunan terkini bagi menyokong pembangunan ekosistem E&E di Malaysia.
MITI berkata, penggunaan Industri 4.0 dalam bidang pembuatan pintar juga ditekankan dalam MoU selain daripada meningkatkan aktiviti pendigitalan melalui pelaksanaan Program Kesediaan Digital Intel bagi menyokong Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.
“Selaras dengan aspirasi kerajaan Malaysia untuk mempersiapkan negara dan belia memasuki masa hadapan, kerjasama ini adalah tepat pada masanya dalam menyokong Rancangan Malaysia ke-12 untuk memajukan ekonomi digital dan memanfaatkan teknologi baru muncul.
“Perkongsian ini juga akan mengukuhkan lagi matlamat negara dalam menghidupkan semula agenda nasional bagi meningkatkan daya saing jangka panjang Malaysia seperti yang dirumuskan dalam Aspirasi Pelaburan Negara,” katanya.
MITI berkata, kerajaan akan meneruskan usaha untuk menggalakkan lebih banyak perkongsian awam-swasta yang menyediakan penyelesaian ketara dalam memenuhi keperluan industri, sambil meningkatkan kesan ekonomi melalui pemindahan teknologi serta kandungan pengetahuan, petunjuk eksport baharu dan kesan limpahan di seluruh industri.
Sumber: Bernama