ITRAMAS sasar 60 peratus pendapatan daripada segmen solar
03 Jan 2021
ITRAMAS Corporation Sdn Bhd terus optimis terhadap prospek perniagaannya dan menyasarkan pendapatan lebih tinggi sebanyak RM300 juta pada tahun ini daripada RM250 juta sebelum ini, untuk segmen pelbagai, terutamanya teknologi hijau.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lee Choo Boo berkata sasaran itu didorong oleh beberapa projek yang sedang dilaksanakan dan yang akan datang di peringkat tempatan dan antarabangsa di United Kingdom, Vietnam, Amerika Selatan, Afrika dan Timur Tengah.
“Dengan tiga loji tenaga fotovoltaik solar di Melaka, Terengganu dan Kedah yang kini beroperasi dengan pengeluaran yang lebih tinggi daripada jangkaan antara enam dan lapan peratus, kami menjangka segmen solar menyumbang kira-kira 60 peratus kepada pendapatan tahun ini manakala baki berada di bawah bahagian bandar pintar,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
ITRAMAS yang ditubuhkan pada 1999, adalah sebuah syarikat pembangunan infrastruktur hijau dan lestari di Malaysia. Berpusat di Kuala Lumpur, ia telah berkembang kepada pelbagai sektor merangkumi tenaga boleh diperbaharui berskala besar, cekap tenaga, bandar pintar dan perkhidmatan pembuatan elektronik.
Selama beberapa tahun, syarikat berjaya melaksanakan projek hijau dan lestari bernilai hampir RM2 bilion, dan kini merupakan pengeluar tenaga solar terbesar di Malaysia dengan beroperasi pada 200MWp.
Mengenai permintaan terhadap tenaga solar, Lee berkata terdapat trend yang semakin meningkat dalam sektor komersial dan perindustrian tetapi minat yang rendah di kawasan kediaman.
“Solar kini semakin mendapat perhatian di negara ini. Dari aspek perniagaan, kita dapat melihat lebih 100 syarikat membida tender Solar Berskala Besar Pusingan Keempat, yang amat kompetitif.
“Sebagai penggiat industri, kami merancang untuk mempromosikan dan memasuki kawasan kediaman untuk tenaga solar.
“Kami yakin dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kawasan kediaman akan menjadi segmen utama apabila masyarakat lebih menyedari mengenai teknologi hijau; ia dapat menjimatkan wang, dan merupakan peningkatan dalam teknologi penyimpanan,” katanya.
Mengenai masa depan, Lee berkata sektor solar akan menjadi sektor utama, terutamanya dalam tempoh semasa apabila tidak banyak projek infrastruktur yang dijalankan berikutan pandemik dan solar dilihat semakin banyak.
Mengenai perkhidmatan cekap tenaga yang merangkumi penyelidikan dan pembangunan produk LED, pembuatan dengan nilai tambah tinggi, operasi dan penyelenggaraan untuk lampu awam, katanya semua ini untuk memenuhi keperluan setiap pelanggan.
“Kami juga giat melancarkan telefon pintar, lampu pintar yang merupakan sebahagian daripada infrastruktur 5G, lampu yang dihubungkan dan lampu jalan tenaga solar.
“Ini akan membolehkan kami membawa tenaga hijau dan lampu jalan cekap tenaga ke kawasan luar bandar apabila anda tidak memerlukan infrastruktur kabel elektrik berikutan ia dapat menampung sendiri,” katanya.
Penerima Anugerah Tadbir Urus Baik Global – Anugerah Inovasi dan Penyelesaian Hijau 3G 2020, ITRAMAS mempunyai pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Pulau Pinang, memberi tumpuan kepada R&D produk, pembiayaan dan pelaburan projek, pembuatan produk, pembangunan projek, reka bentuk dan pemasangan serta operasi dan penyelenggaraan.
“Ini antara penyelesaian kami untuk menyokong penggunaan tenaga lestari dan boleh diperbaharui. Dalam mencapai matlamat itu, kami akan terus menyokong pertumbuhan teknologi hijau sebagai model pembangunan baharu untuk meningkatkan kemampanan pelanggan dan juga negara,” katanya.
Sumber: Bernama