Jerasia pergiatkan usaha dalam pembuatan, dagangan sarung tangan
29 Jan 2021
Jerasia Capital Bhd bercadang memperluas usahanya dalam peralatan perlindungan diri (PPE) dengan meneroka pembuatan dan dagangan sarung tangan untuk meningkatkan perolehannya.
Dalam kenyataan hari ini, ia menjelaskan pihaknya, yang menjalankan aktiviti terutama pemborongan, peruncitan, pembuatan dan eksport pakaian dan aksesori fesyen, akan memeterai perjanjian dagangan bersyarat dengan Golden Global Trading & Healthcare Sdn Bhd, pemilik jenama berdaftar sarung tangan yang dikenali sebagai Golden Care, bagi pembekalan sarung tangan.
Menurutnya, berdasarkan perjanjian dagangan itu, pihaknya akan membekalkan sekurang-kurangnya 72 juta kotak sarung tangan pemeriksaan lateks dan nitril dalam tempoh tiga tahun, dengan komitmen jumlah minimum bulanan sebanyak dua juta kotak sepanjang tiga tahun.
“Mengikut perancangan pembuatan sarung tangan, Jerasia akan memperoleh, memasang dan menugaskan sehingga 10 barisan pencelupan secara berperingkat selama 12 bulan untuk membuat sarung tangan lateks dan nitril,” menurutnya.
10 barisan itu dijangka menghasilkan kapasiti pengeluaran sebanyak 8.4 juta keping sarung tangan sehari, jelasnya.
Pengarah Urusan Kumpulan, Pronob Sen Gupta berkata pihaknya akan melaksanakan tawaran persendirian dan terbitan hak dengan waran untuk membiayai perniagaan pembuatan sarung tangan.
Beliau berkata Jerasia telah mengenal pasti dan merancang untuk membeli tanah pegangan bebas seluas 1.21 hektar di Negeri Sembilan bagi memudahkan usaha niaga dalam perniagaan sarung tangan.
“Kami masih dalam proses rundingan untuk memuktamadkan cadangan pembelian tanah yang akan digunakan bagi pembinaan sebuah kilang dua tingkat dengan saiz binaan kira-kira 6,967.72 meter persegi. Kilang ini akan merangkumi pejabat, gudang, makmal dan ruang pengeluaran,” katanya.
Pronob berkata rancangan itu tertakluk kepada penyiapan kilang tersebut dengan jalur pencelupan sarung tangan pertama dijangka beroperasi pada separuh kedua 2021.
Sumber: Bernama