JF Technology labur RM40 juta tubuh pusat ujian - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


JF Technology labur RM40 juta tubuh pusat ujian

JF Technology labur RM40 juta tubuh pusat ujian

16 Mac 2022

JF Technology Bhd, penyedia penyelesaian antara muka ujian berprestasi tinggi untuk litar bersepadu (IC) global melabur RM40 juta bagi menubuhkan Pusat Ujian Sentuh Kecemerlangan di Kota Damansara, Selangor.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, pelaburan itu adalah sebahagian daripada rancangannya untuk mengembangkan lagi perniagaan serta mengambil peluang yang besar dalam industri semikonduktor.

Pusat yang terletak dalam fasiliti sedia ada syarikat itu akan dilengkapi dengan makmal dan peralatan yang canggih bagi pembangunan produk serta harta intelektual (IP) baharu untuk memenuhi kehendak pelanggannya dari seluruh dunia.

Pengarah Urusannya, Datuk Foong Wei Kuong, berkata JF Technology akan terus melabur di pusat ini, terutama dalam pembangunan modal insan.

“Kami bangga bahawa JF Technology beroperasi dengan 99 peratus bakat tempatan dan akan meneruskan komitmen ini dengan mewujudkan lebih banyak pekerjaan melalui pusat berkenaan dengan penekanan kepada pekerjaan teknikal berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia.

“Ini, digabungkan dengan pembangunan berterusan serta peningkatan ekosistem teknologi dan inovasi di negara ini akan terus mengukuhkan kelebihan daya saing Malaysia selain memacu negara ke atas rantaian nilai semikonduktor,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman ketika mengulas mengenai pusat itu menjelaskan, projek terbabit bertepatan pada masanya dan amat penting, sejajar dengan pelancaran 5G semasa termasuk potensi sumbangannya kepada ekonomi rakyat Malaysia daripada segi pekerjaan berpendapatan tinggi.

Katanya lagi, ini membuktikan keupayaan sebuah syarikat Malaysia dalam mengguna pakai teknologi generasi akan datang.

Penubuhan Pusat Ujian Sentuh Kecemerlangan ini akan mewujudkan 77 pekerjaan baharu menjelang 2025 dengan sebanyak 80 peratus daripada pekerjanya memerlukan individu yang berlatar belakang teknikal dan kejuruteraan.

“Ini akan memantapkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan strategik untuk syarikat global dalam industri jentera dan peralatan (M&E) khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik serta kenderaan autonomi.

“Daripada segi penerimaan serta pengeluaran produk berkaitan teknologi 5G yang canggih, pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan yang berkaitan dengan 5G termasuk pemindahan teknologi baharu dalam rantaian nilai pembuatan, projek ini mempunyai potensi yang besar untuk mewujudkan kesan pengganda dalam ekonomi domestik,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon