Johor jangka pelaburan RM15 bilion bagi Taman Pusat Data Hijau YTL - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Johor jangka pelaburan RM15 bilion bagi Taman Pusat Data Hijau YTL

Johor jangka pelaburan RM15 bilion bagi Taman Pusat Data Hijau YTL

25 Ogo 2022

Kerajaan negeri Johor menjangkakan pelaburan bernilai RM15 bilion bagi Taman Pusat Data Hijau YTL dalam tempoh 10 tahun akan datang, terutamanya berikutan peningkatan permintaan terhadap pusat data di rantau ini, menurut Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata taman pusat data hijau berkeluasan 111 hektar itu merupakan taman pusat data terbesar di Malaysia buat masa ini dan yang pertama dikuasakan oleh tenaga boleh diperbaharui dengan kapasiti 500 megawatt.

Banyak penyedia pusat data memilih untuk menubuhkan kemudahan pusat data masing-masing di luar pasaran lebih maju, katanya sambil menambah Johor berpotensi untuk menjadi pasaran pusat data global yang terkemuka.

“Kita telah berkembang menjadi hab teknologi kukuh dan destinasi yang diingini bagi pelaburan digital. Status kita sebagai hab serantau semasa bagi pembuatan, logistik dan analisis data raya tentunya merupakan satu kelebihan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebelum merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Pusat  Data Sea, sekali gus menandakan fasa pertama bagi Taman Pusat Data Hijau YTL.

YTL Power International Bhd, melalui anak syarikatnya YTL Data Center Holdings Pte Ltd melabur RM1.5 bilion untuk fasa pertama Taman Pusat Data Hijau YTL.

Sea Ltd akan menjadi penyewa utama di Taman Pusat Data Hijau YTL susulan penubuhan Pusat Data Sea.

Fasiliti 72MW bertaraf Tier-III itu dijangka siap pada suku pertama 2024.

Sea Ltd adalah syarikat teknologi berpangkalan di Singapura yang mempunyai perniagaan teras dalam hiburan digital, e-dagang serta pembayaran digital dan perkhidmatan kewangan.

Onn Hafiz berkata, pasaran pusat data global bernilai US$187.35 bilion (US$1=RM4.48) pada 2020 dan diunjurkan bernilai US$517.17 bilion menjelang 2030, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 10.5 peratus daripada 2021 hingga 2030.

Memandangkan ekonomi digital diramal menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia menjelang 2025, ia merupakan antara peluang yang tidak mahu dilepaskan oleh negeri itu.

“Sudah tentu, dengan bantuan berterusan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, kerajaan negeri akan melakukan yang terbaik untuk menarik pelaburan dan membolehkan Johor merealisasikan potensi untuk muncul sebagai hab pusat data serantau,” katanya.

Selain Taman Pusat Data Hijau YTL, Johor turut mempunyai dua lagi taman pusat data iaitu Nusajaya Tech Park dan Sedenak Tech Valley, katanya sambil memaklumkan kerajaan negeri berharap dapat mewujudkan lebih banyak taman pusat data di negeri itu.

Pengarah Urusan YTL Power Datuk Yeoh Seok Hong berkata acara pada hari ini menandakan fasa baharu kerjasamanya dengan Sea Ltd.

“Kami gembira menawarkan infrastruktur hijau bertaraf dunia kepada rakan niaga kami melalui kepakaran kumpulan dalam tenaga solar, pusat data, telekomunikasi, pembinaan dan pembangunan hartanah,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon