Johor sasar pertumbuhan ekonomi tujuh peratus setahun - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Johor sasar pertumbuhan ekonomi tujuh peratus setahun

Johor sasar pertumbuhan ekonomi tujuh peratus setahun

14 Jun 2022

Johor menyasarkan pertumbuhan ekonomi sebanyak tujuh peratus setahun dalam memastikan usahanya untuk mencapai nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM260 bilion menjelang 2030 tercapai.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata meskipun matlamat itu dilihat tinggi, namun beliau yakin ia tidak mustahil untuk dicapai sekiranya semua pihak komited dan beriltizam untuk merealisasikannya.

Beliau berkata negeri itu juga perlu kembali meneguhkan semua sektor ekonominya yang menyumbang kepada KDNK dan terus berkembang dengan pesat.

“Ini penting bagi memastikan Johor berjaya mencapai nilai KDNK RM260 bilion menjelang 2030 iaitu lebih dua kali ganda saiz ekonomi Johor, sekarang ini. Nilai ini memerlukan ekonomi Johor tumbuh sekitar tujuh peratus setahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Menteri Besar Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (PERSADA), di sini, hari ini.

Seramai lebih 1,600 penjawat awam negeri dan persekutuan menghadiri majlis amanat itu yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Onn Hafiz berkata ekonomi yang berkembang akan menyumbang kepada peningkatan hasil negeri, sekali gus memberi ruang dan peluang untuk membantu rakyat dengan lebih baik dan berkesan.

“Kita harus memastikan kek ekonomi kita diperbesarkan agar semua rakyat berpeluang menerima agihan kek ekonomi yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata usaha bagi menarik pelaburan yang berkualiti juga perlu ditingkatkan dan bersifat terbuka dalam menerima pelaburan luar antaranya dengan memudahkan urusan menjalankan perniagaan untuk semua pelaburan.

“Dasar ekonomi yang akomodatif dan dana pelaburan yang berkualiti perlu disuntik segera, terutamanya dalam mendepani era ekonomi yang pantas berubah.

“Namun begitu, kita semua sedia maklum bahawa dana kerajaan yang disuntik kepada pembangunan ekonomi menerusi perbelanjaan pembangunan negeri dan persekutuan adalah terhad. Justeru, kita perlu mempertingkatkan usaha bagi menarik pelaburan yang berkualiti, yang dapat memberi nilai tambah terbaik, seterusnya menjana pekerjaan yang bergaji tinggi kepada rakyat,” katanya.

Beliau menambah kerajaan negeri juga akan menyediakan insentif perniagaan bagi pelaburan dalam sektor terpilih sekali gus memberi impak besar kepada pertumbuhan ekonomi Johor serta mengambil kira kepentingan dan hubungan dinamik ekonomi serantau termasuk Singapura yang juga merupakan antara pelabur utama di Johor.

Sementara itu, Onn Hafiz dalam amanatnya memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah mengenal pasti 3,000 ekar tanah untuk diusahakan dengan tanaman yang bernilai tinggi untuk tujuan eksport antarabangsa dan juga domestik.

Beliau pada masa sama berharap agar Johor dapat menguasai setiap aktiviti dalam rantaian nilai ekonomi makanan agar hasrat “From farm, to fork” akan menjadi kenyataan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon