K-One bantu MIDA agih geran RM12.26 juta bagi projek ventilator NASA-JPL - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


K-One bantu MIDA agih geran RM12.26 juta bagi projek ventilator NASA-JPL

K-One bantu MIDA agih geran RM12.26 juta bagi projek ventilator NASA-JPL

07 Sep 2021

Anak syarikat milik penuh K-One Technology Bhd iaitu K-One MediTech Sdn Bhd dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memeterai perjanjian bagi membantu agensi itu mengagihkan geran padanan untuk membangunkan serta pengeluaran ventilator yang dilesenkan oleh NASA Jet Propulsion Laboratory (NASA-JPL).

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Selasa, K-One berkata geran padanan 1:1 yang tidak melebihi RM12.26 juta itu disalurkan oleh MIDA dan merangkumi perbelanjaan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan, latihan, peralatan khusus, naik taraf kemudahan dan yuran pensijilan projek selama tiga tahun bermula 8 Sept, 2020 hingga 7 Sept, 2023.

“Geran itu bagi pembangunan lanjut ventilator NASA-JPL untuk memenuhi ketetapan lebih meluas dan objektif lebih khusus sewaktu dan melangkaui tempoh pandemik COVID-19,” katanya syarikat itu.

Ventilator  NASA-JPL itu telah mendapat kelulusan pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) di bawah Kebenaran Bagi Penggunaan Kecemasan (EUA).

Sehubungan itu, produk tersebut telah menepati syarat ketat yang ditetapkan oleh FDA dan tidak harus dianggap sebaliknya, katanya.

Bagaimanapun, K-One turut menyasarkan tempoh yang melangkaui pandemik COVID-19.

Menurutnya, dengan memanfaatkan platform ventilator NASA-JPL, syarikat itu merancang untuk melakukan pembangunan lanjut seterusnya dan menerimaguna produk terbabit sebagai rangkaian produk jenamanya pada masa depan.

“Penambahbaikan itu akan menumpukan usaha memperluas skop ventilator untuk turut meliputi penyakit pernafasan akut lain, diupayakan dengan ciri-ciri internet benda (IoT) dan nilai tambah lain yang sejajar dengan kemajuan teknologi bagi masa depan.

“Syarikat itu menyasarkan untuk meraih manfaat komersial daripada platform ventilator NASA-JPL dengan menghasilkan versi yang dikeluarkan di peringkat tempatan bagi bekalan global untuk tempoh jangka panjang,” katanya.

Malah, K-One menyifatkan pembangunan dan pengeluaran produk yang dipertingkat di peringkat tempatan akan membolehkan Malaysia lebih berdikari dari segi bekalan ventilator sama ada sewaktu masa-masa biasa atau berulangnya gelombang pandemik COVID-19 di masa depan.

Syarikat tersebut juga percaya sebarang pembangunan lanjut dan pengeluaran ventilator itu akan  menjadikannya sebagai produk pertama dihasilkan di Malaysia dengan bercirikan teknologi lanjut yang dibangunkan di peringkat tempatan.

Proses tersebut akan dapat menjana usaha mewujudkan kepakaran khusus dalam kalangan pekerja teknikal tempatan menerusi kerjasama dengan university tempatan, hospital universiti dan latihan mengikut protokol perubatan khusus oleh pakar peranti perubatan selain  membabitkan pembangunan kecekapan unik dalam rantaian bekalan untuk menyokong ekosistem ventilator tersebut.

Menurut K-One, perjanjian itu memberi impak tidak ketara ke atas aset dan hutang bersih syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2021.

Pelaksanaan perjanjian berkenaan dijangka memberi sumbangan positif ke atas pendapatan masa depan syarikat selepas ventilator yang dipertingkat itu dapat dipasarkan serta dijual di dalam negara dan antarabangsa, kata K-One.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon