Kedah terima RM5 bilion pelaburan komited suku pertama tahun ini - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kedah terima RM5 bilion pelaburan komited suku pertama tahun ini

Kedah terima RM5 bilion pelaburan komited suku pertama tahun ini

18 Jun 2023

Kedah telah menerima pelaburan komited berjumlah RM5 bilion bagi suku pertama tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, melalui keyakinan komuniti industri, negeri ini turut mencatatkan jumlah pelaburan melebihi sasaran RM10 bilion setahun untuk dua tahun sebelumnya berturut-turut.

“Hasil pelaburan puluhan bilion ringgit ini bakal menjana 19,568 peluang pekerjaan kepada seluruh rakyat dan menjanjikan peningkatan hasil tambahan kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan tahniah mewakili kerajaan negeri dan rakyat Kedah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ke-81 di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.

Menurut Muhammad Sanusi, momentum pelaburan yang berkembang pesat ini akan diteruskan melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Delapan, Kedah Rubber City (KRC), pembangunan Kedah Aerotropolis, Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) dan pusat bekalan gas dan loji janakuasa Pulau Bunting di Yan.

Sementara itu, beliau berkata Kedah juga telah mencapai prestasi ekonomi yang memberangsangkan dengan merekodkan pertumbuhan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) sebanyak 3.2 peratus pada 2021.

Katanya pertumbuhan KDNK Kedah bagi 2022 pula dijangka terus kukuh, seiring dengan KDNK nasional yang telah mencatatkan lonjakan pertumbuhan sebanyak 8.7 peratus.

Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri juga telah berusaha mempelbagaikan sumber hasil dengan meneroka sumber alam negeri ini yang kaya dengan khazanah bahan mineral.

Jelasnya, penemuan bahan mineral baharu iaitu nadir bumi di negeri ini yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit, dijangka dapat meningkatkan hasil pendapatan negeri melalui bayaran royalti.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon