Kekalkan pertumbuhan ekonomi, jana pekerjaan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kekalkan pertumbuhan ekonomi, jana pekerjaan

Kekalkan pertumbuhan ekonomi, jana pekerjaan

07 Jun 2023

Malaysia perlu mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti tinggi.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata kerajaan akan terus melabur dalam permintaan agregat, penciptaan perniagaan, inovasi, dan pemilihan industri pertumbuhan tinggi, bernilai tinggi (HGHV).

“Kerajaan menetapkan beberapa langkah yang mesti dilaksanakan bagi menangani jurang kemahiran pada era yang semakin mencabar ketika ini.

“Walau apa pun versi masa depan pekerjaan, ia hanya akan menjadi optimistik jika terdapat enjin pertumbuhan yang mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Justeru, pertumbuhan ekonomi adalah satu keperluan asas bagi kerajaan khususnya Kementerian Ekonomi,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Keupayaan Serantau Asia Tenggara (RCC) Deloitte di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Deloitte Malaysia, Yee Wing Peng; Ketua Pasaran & Pelanggan Deloitte Asia Tenggara, James Walton; dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sivasuriyamoorthy Sundara Raja.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, kerajaan juga menetapkan inisiatif bagi meningkatkan aspek latihan semula dan pembangunan tenaga kerja kepada skala baharu.

“Anggaran terkini oleh Bank Dunia memberi kita gambaran betapa besarnya jurang bakat untuk kita padankan kemahiran dengan negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

“Kita perlu mencipta 2 juta lagi pekerjaan berkemahiran tinggi. Jangan silap, ini adalah cabaran global yang masih dihadapi oleh banyak negara. Ramai yang menyamakan tugas besar ini dengan skala Rancangan Marshall, pelan pemulihan ekonomi pasca perang untuk menghadapi dunia yang jauh berbeza daripada sebelumnya,” katanya.

Beliau menjelaskan, dalam beberapa bulan akan datang, kerajaan akan melancarkan beberapa siri inisiatif untuk memudahkan akses kepada program peningkatan kemahiran secara besar-besaran agar dapat mengatasi ketidakseimbangan bekalan-permintaan.

“Kerajaan mesti wujudkan persekitaran yang disokong untuk mobiliti buruh di mana adalah tidak memadai untuk melatih tanpa memikirkan cara meletakkan bakat yang betul ke pekerjaan yang betul.

“Teknologi berguna di sini, kerana kita perlu memikirkan tentang platform bakat digital yang menyokong peralihan pekerja.

“Di Jerman, agensi pengangguran persekutuan telah mengubah peranannya menjadi agensi padanan yang mantap kerana mereka mengakui bahawa buruh kini lebih mudah alih berbanding sebelum ini,” katanya.

Rafizi berkata, selain latihan semula, kerajaan juga akan mempertimbangkan pelbagai skim perlindungan sosial untuk pekerja dalam proses peralihan itu untuk menangani sisi teknologi yang tidak dapat diramalkan.

“Sebahagian daripada pembaharuan struktur yang perlu dilakukan oleh kerajaan adalah membetulkan ketidakseimbangan penawaran dan permintaan secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Deloitte membuka RCC Asia Tenggara bagi menawarkan perkhidmatan komprehensif kepada pelanggannya dalam rangkaian seluruh perniagaannya.

RCC direka untuk menyediakan set perkhidmatan profesional lengkap untuk lima perniagaan serantaunya iaitu audit dan jaminan; perundingan; khidmat nasihat kewangan; khidmat nasihat risiko; serta cukai dan perundingan.

Terletak di Kuala Lumpur, RCC memanfaat lokasi strategik Malaysia di Asia Tenggara dan reputasi negara sebagai destinasi kompetitif bagi pelaburan bernilai tinggi.

Menurut Deloitte, penubuhan RCC di Malaysia adalah langkah yang akan membolehkan firma berkenaan memperkasakan kehadirannya di peringkat serantau dan kedudukan organisasi untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi perkhidmatan profesional di Asia Tenggara.

Mengulas mengenainya, Wing Peng, berkata firma itu menjangkakan, RCC menyediakan 1,000 pekerjaan kepada profesional Malaysia tahun ini dengan rancangan untuk membangunkan keupayaan dalam sains data dan analitik, penyiasatan forensik, pengurusan rantaian bekalan, transformasi digital, keselamatan siber dan pengkomputeran awan.

Katanya, pusat berkenaan dijangka mewujudkan peluang untuk bakat tempatan dan akan membantu meningkatkan sektor perkhidmatan profesional di Malaysia.

“Program pembangunan bakat komprehensif Deloitte bertujuan untuk memupuk bakat pada setiap peringkat, bermula dari tahun-tahun pendidikan asasi melalui pendidikan tinggi dan meneruskan perjalanan sebagai profesional Deloitte,” katanya.

Deloitte adalah organisasi perkhidmatan profesional terbesar dunia dengan rangkaian meluas global dan serantau di 150 negara.

Ditubuhkan pada 1968, pejabat Deloitte di Malaysia menjadi sebahagian daripada rangkaian firma itu di Asia Pasifik dengan lapan pejabat di seluruh Malaysia selain memiliki lebih 2,900 kakitangan merentasi lebih 17 warganegara di seluruh dunia.

Wing Peng berkata, pemilihan Malaysia sebagai RCC Deloitte disebabkan negara ini memiliki bakat bertaraf dunia, set kemahiran berbilang bahasa, budaya yang pelbagai dan inklusif, rangkaian yang baik di peringkat antarabangsa, kos menjalankan perniagaan yang agak rendah serta kerajaan yang mesra perniagaan dan akomodatif.

“Daripada pemerhatian saya, bakat masa kini lebih menghargai pengalaman dan pengetahuan yang mereka boleh peroleh daripada sesuatu pekerjaan, bukannya bergaji semata-mata.

“Kami berusaha untuk menawarkan pengalaman bakat bertaraf dunia dari segi masa depan kerja, tempat kerja dan tenaga kerja supaya bakat muda kami tidak perlu melakukan perjalanan ratusan atau beribu batu jauhnya dari negara asal mereka semata-mata untuk memenuhi aspirasi kerjaya mereka.

“Melalui RCC, kami berharap dapat menyokong kerajaan dalam merapatkan jurang, akhirnya membantu meningkatkan ekonomi negara ke status berpendapatan tinggi menjelang 2028,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon