Kembangkan potensi SOGIP sebagai hab sektor hiliran: Hajiji
08 Mac 2021
Kerajaan negeri mahu Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dikembangkan untuk berpotensi penuh sebagai hab aktiviti hiliran petrokimia dan petroleum utama di rantau ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, sebagai pengendali pengurusan SOGIP, Perbadanan Pembangunan Minyak dan Gas Sabah (SOGDC) perlu menyelesaikan isu utama yang membabitkan kesediaan infrastruktur dan tanah bagi menarik minat pelabur.
Beliau berkata, menerusi Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) di bawah kerajaan negeri dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kerajaan Persekutuan, kedua-duanya menyediakan dana untuk menangani masalah infrastruktur di SOGIP.
Menurutnya, SOGDC perlu bekerja lebih keras untuk memastikan pertumbuhan positif industri minyak dan gas Sabah khususnya dalam meningkatkan kedudukan SOGIP di bawah kelompok petrokimia di rantau Asia Tenggara, selain mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat.
Beliau yang juga Pengerusi SOGDC berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah SOGDC di sini hari ini.
Hajiji percaya, dengan pasukan baharu, SOGDC akan bergerak maju ke hadapan dan menjadi lebih cekap serta proaktif dalam menguruskan SOGIP.
“Secara umumnya, perkembangan industri minyak dan gas di Sabah terutama sektor huluan mengalami pertumbuhan pesat dengan penemuan ladang minyak air dalam di perairan negeri ini beberapa tahun lepas.
“Peningkatan syarat dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) oleh PETRONAS turut memberi pengurusan yang lebih baik kepada sektor huluan sekali gus membolehkan Malaysia khususnya Sabah untuk maju dari segi sumber hidrokarbon,” katanya.
Hajiji berkata, aspirasi kerajaan negeri bukan hanya untuk meningkatkan pendapatan dari cukai hasil minyak dan gas, malah mencapai inklusiviti yang membuka peluang lebih besar kepada rakyat.
Pada masa sama katanya, kerajaan negeri juga memperolehi keuntungan dari segi ekonomi secara langsung atau tidak langsung dari sektor berkenaan.
Terdahulu, Hajiji menyampaikan surat pelantikan kepada Ahli Lembaga Pengarah baharu SOGDC yang dianggotai oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Dr. Joachim Gunsalam; Abdul Kadir Damsal sebagai Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif; Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Rusdin Riman; Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Mohd Jasmin Julpin; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Industri Thomas Logijin; dan mantan Pengarah Projek dan Pengurusan Projek PETRONAS Chemicals Group Sabah Datuk Mohd Shariff Ibrahim.
Sumber: Utusan Borneo