Kerajaan, IPT bekerjasama sedia bakat tempatan seiring keperluan semasa, industri baharu
29 Jul 2023
Kerajaan perlu terus memberikan penekanan kepada kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) dan institusi pendidikan untuk memastikan negara berupaya untuk terus membekalkan bakat tempatan yang relevan dengan keperluan semasa dan industri baharu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pada masa ini, Malaysia kekal sebagai negara yang kompetitif dari segi menyediakan bakat tempatan kepada pelabur luar berikutan penguasaan bahasa Inggeris yang baik serta pengetahuan teknikal yang mampu memenuhi permintaan pelabur luar di negara ini.
“Selama ini (antara sebab) kita berjaya menarik pelabur (luar masuk ke dalam negara) adalah kerana kita mempunyai tenaga kerja yang diperlukan dan relevan kepada (pelaburan) mereka.
“Tetapi kita tidak boleh leka atau berpuas hati dengan pencapaian tersebut berikutan teknologi itu sentiasa berubah dan tahap kepakaran yang diperlukan semakin tinggi sekiranya kita mahu meningkatkan rantaian nilai,“ katanya pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV hari ini.
Berkenaan penyediaan infrastruktur, Tengku Zafrul berkata setakat ini Malaysia mempunyai infrastruktur yang baik dari segi kelajuan talian komunikasi untuk menarik pelabur.
“Bagaimanapun, kita juga harus bersedia dengan perkembangan teknologi (yang mencipta industri baharu) seperti ekonomi digital dan (kemajuan capaian jalur lebar) 5G, di samping perkembangan teknologi hijau,“ katanya.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kestabilan politik turut memainkan peranan penting dalam memastikan negara kekal menarik perhatian pelabur asing.
Kestabilan politik di Malaysia akan menyebabkan pelabur luar lebih yakin berikutan kerajaan berupaya membuat keputusan atau perancangan jangka panjang dan berskala besar, katanya.
“Jika kita lihat sekarang, kebanyakan pelan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelan yang bersifat jangka panjang dengan sasaran untuk tempoh 10 tahun. Ini semua memainkan peranan untuk meningkatkan keyakinan pelabur luar kepada negara,” katanya.
Beliau berkata Perdana Menteri juga sering menekankan kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan kerjasama di antara institusi TVET dengan syarikat dan industri supaya lulusan ini berpeluang mendapat pekerjaan.
Menurutnya segelintir pihak di negara ini berpendapat lulusan TVET kurang penting, sebaliknya di negara-negara maju seperti Eropah, TVET adalah antara cabang kursus yang amat penting untuk mendapatkan pekerjaan.
Sumber: The Sun Daily