Kerajaan ke arah mereformasikan ekosistem pemula niaga, tumpuan pada pelaburan – Rafizi
13 Jun 2023
Kerajaan sedang mencari jalan bagi mereformasikan ekosistem pemula niaga dari segi modal teroka dan pelaburan ke arah kemajuan syarikat-syarikat ini, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Beliau berkata kerajaan akan menumpukan kepada pembiayaan untuk ekosistem pemula niaga dan cara ia boleh diwujudkan di peringkat pelabur budiman dan modal awal.
“Pada pandangan saya adalah untuk melihat bagaimana lebih banyak pelaburan (ke dalam syarikat pemula niaga) akan dibuat di peringkat pelabur budiman dan modal awal.
“Ini adalah perkara yang kita mahu lihat, bagaimana kita boleh mencipta lebih banyak syarikat pemula niaga di peringkat pelabur budiman dan modal awal,” katanya pada siri ceramah Ilham Mavcap anjuran Malaysia Venture Capital Management Bhd (Mavcap) di sini, hari ini.
Menurut Rafizi, Malaysia kini menawarkan lebih banyak kelebihan untuk ekosistem pemula niaga ke rantau ini berbanding dengan negara-negara jirannya.
“Kita mempunyai pelan yang betul, (dan) dengan semua ekosistem dan agensi bekerjasama, kita boleh mendahului dengan cepat berbanding dengan rakan-rakan kita.
“Kita mahu menjadi hab pilihan pelabur digital, setanding dengan Singapura dan Indonesia,” katanya.
Sementara itu, Rafizi menyatakan kerajaan juga sedang mengusahakan cara untuk mengintegrasikan sistem ‘back-end’ yang ditugaskan untuk membantu memajukan syarikat pemula niaga dalam ekosistem digital dan teknologi pada tahap dan peringkat yang berbeza.
“Saya akan duduk bersama Kementerian Komunikasi dan Digital serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang bertanggungjawab ke atas ekosistem digital pada 21 Jun bagi memastikan semua orang mempunyai matlamat yang sama dan memutuskan secara kolektif bagaimana kita akan melakukannya.
“Kita akan meminta 20 agensi ini (yang berkaitan dengan ekosistem) bahawa kita perlu bergerak ke arah pendekatan satu tetingkap, sama seperti yang kita lakukan dengan sistem permohonan visa,” katanya.
Rafizi menambah idea untuk mengintegrasikan sistem ‘back-end’ untuk digital dan teknologi akan dibentangkan kepada Majlis Ekonomi Digital yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada akhir Julai.
“Kita akan mempunyai lebih banyak kejelasan tentang bagaimana sebenarnya untuk kita akan melakukan hal ini, mengenai pendekatan tetingkap tunggal pada bulan Ogos kerana selepas mesyuarat Majlis Ekonomi Digital pada akhir Julai, kita berharap mendapat kebenaran untuk membuat pengumuman yang besar melibatkan beberapa pelaburan besar,” tambahnya.
Sumber: Bernama