Kerajaan komited permudahkan aktiviti perniagaan, sokong pelaburan domestik - Anwar - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kerajaan komited permudahkan aktiviti perniagaan, sokong pelaburan domestik – Anwar

Kerajaan komited permudahkan aktiviti perniagaan, sokong pelaburan domestik – Anwar

30 Mei 2023

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan komited untuk meningkatkan dan mempermudahkan lagi aktiviti perniagaan dalam negara dan menyokong pelaburan langsung domestik.

Selain itu, katanya, Kabinet juga menumpu untuk mempercepat pelaksanaan projek kerajaan dan memudahkan kelulusan aktiviti perniagaan antaranya termasuklah permohonan berkenaan ekspatriat yang berkemahiran, dalam usaha menggalakkan pertumbuhan domestik.

“Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk memangkin dan menarik pelaburan berkualiti tinggi yang akan menghasilkan hubungan dengan para usahawan tempatan dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Ini termasuk langkah Belanjawan 2023 untuk menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) khususnya melalui penyediaan pelbagai kemudahan pembiayaan dan jaminan bernilai RM40 bilion,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.

Anwar terdahulu hari ini mengadakan sesi dialog dengan pemimpin perniagaan, badan pengawal selia dan ahli ekonomi berhubung langkah-langkah untuk memperkukuh pemacuan pertumbuhan ekonomi dan merangsang pelaburan domestik.

Sesi dialog berkenaan disertai dewan perniagaan seperti Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) dan bank-bank.

Pada pertemuan itu, Perdana Menteri berkata, petunjuk awal indikator ekonomi memperlihatkan dasar fiskal kerajaan dan langkah Belanjawan 2023 telah membuahkan hasil meskipun menghadapi pelbagai cabaran. Jelasnya, Malaysia mencapai pertumbuhan Suku Pertama (S1) 2023 yang memberangsangkan sebanyak 5.6 peratus (berbanding unjuran 2023 sebanyak 4 peratus hingga 5 peratus) dan mengurangkan kadar pengangguran kepada 3.5 peratus (berbanding 5.2 peratus pada Mei 2020).

Selain itu, jumlah pelaburan yang diluluskan pada S1 2023 mencecah RM71 bilion, meningkat 60 peratus daripada RM45 bilion pada S1 2022.

“Ia disokong oleh minat pelaburan yang tinggi daripada, antaranya, Amazon Web Services, Tesla EV, Geely / Proton Automotive City di Tanjung Malim dan Ronsheng Petrochemicals di Pengerang.

“Pengesahan penarafan kredit oleh Fitch dan Moody’s masing-masing pada Februari 2023 dan April 2023 mencerminkan keyakinan mereka terhadap iltizam kerajaan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi walaupun di tengah-tengah situasi global yang sangat mencabar,” katanya.

Pada pertemuan yang sama, Anwar turut menekankan komitmen kerajaan dalam memacu pertumbuhan yang inklusif dan mampan, memulihkan keyakinan terhadap institusi awam dan tata kelola serta menegakkan keadilan sosial untuk semua rakyat, selaras dengan visi Malaysia MADANI.

Beliau turut menjelaskan bahawa dasar dan keutamaan ekonomi di bawah Kerajaan Perpaduan akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam Pelan Induk Perindustrian (Ogos 2023), Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (September 2023) dan Belanjawan 2024 (Oktober 2023).

Justeru, katanya, kumpulan perniagaan turut dipelawa untuk mengemukakan input dan cadangan berhubung rancangan ekonomi yang bakal dibentangkan itu.

Orang ramai juga boleh berkongsi cadangan berhubung langkah-langkah bagi mengembangkan lagi ekonomi negara melalui segmen “Suarakan Pendapat Anda” di lawan web rasmi Kementerian Kewangan www.mof.gov.my, tambahnya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon