Kerajaan komited tambah baik, perkasa ekosistem dan lanskap pelaburan negara
19 Mei 2023
Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang diadakan kali pertama hari ini bersetuju menambah baik ekosistem Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) negara dengan melaksanakan inisiatif bagi menyelaras fungsi dan peranan koridor ekonomi wilayah berkaitan pelaburan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu amat penting bagi memastikan pendekatan menyeluruh kerajaan termasuk aktiviti penggalakan pelaburan negara secara lebih tersusun, cekap dan teratur.
“Ia akan memastikan Malaysia dapat mengoptimumkan sumber sedia ada bagi mengatasi isu pertindihan tanggungjawab di antara IPA sekali gus menjamin penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan.
“Tadbir urus IPA juga adalah faktor penting bagi pelabur membuat keputusan dan menilai Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar mempengerusikan mesyuarat berkenaan yang sebelum ini diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu.
Anggota tetap Majlis terdiri daripada Menteri Kewangan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Menteri Ekonomi, Gabenor Bank Negara Malaysia dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan.
Anwar berkata MPN berperanan sebagai badan eksekutif tertinggi dalam merencanakan agenda berkaitan pelaburan sekali gus memastikan tadbir urus pelaburan negara diperkasakan.
Selain itu, MPN turut bertanggungjawab menangani isu dan cabaran utama dalam pelaksanaan projek pelaburan terutama yang membabitkan pelaburan strategik dan berimpak tinggi bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek berkenaan.
Perdana Menteri berkata, kerajaan turut komited untuk menambah baik dan memperkasakan ekosistem serta lanskap pelaburan negara bagi meningkat dan mengekalkan pelaburan langsung asing (FDI) dan domestik (DDI).
“Dalam usaha untuk menyelaras aktiviti penggalakan pelaburan dengan lebih berkesan dan meningkatkan keupayaan IPA dari segi keutamaan strategik, fungsi, sumber manusia, ciri organisasi dan dasar tadbir urus, penyusunan semula ekosistem IPA negara akan dimulakan dengan pelan penyelarasan fungsi dan peranan IPA secara berfasa.
“Sehubungan itu, MPN juga bersetuju untuk memperkasakan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai agensi penggalakan pelaburan utama negara.
“Selain itu, pengukuhan fungsi penyelenggaraan akaun dan pemantauan oleh IPA serta pemusatan pelaporan maklumat terkini pelaburan di bawah satu platform atau dashboard tunggal juga akan menangani isu-isu pelabur secara tangkas serta menyokong penggubalan dasar untuk pembangunan industri, insentif galakan pelaburan dan memudahcara perjalanan pelabur serta fasilitasi pelaburan yang berkesan,” katanya.
Anwar berkata mesyuarat MPN turut membincangkan mengenai
pemantauan projek-projek pelaburan khususnya hasil potensi pelaburan menerusi program Misi Penggalakan Perdagangan dan Pelaburan.
Ia akan diketuai beliau sendiri dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Katanya, jumlah pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi bagi Suku Pertama2023 adalah RM71.4 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 59.7 peratus berbanding dengan suku pertama pada 2022 iaitu RM44.7 bilion.
Ia merangkumi 1,265 projek yang berpotensi menjana hampir 24,000 pekerjaan bagi rakyat Malaysia.
Sehubungan itu, Anwar berkata, MPN dijadualkan bersidang sekurang-kurangnya empat kali setahun supaya setiap inisiatif dan program pelaburan dapat dipantau dan dinilai keberkesanannya.
Sumber: Berita Harian