Kerajaan lulus 4,545 projek perkilangan dengan jumlah pelaburan RM450.5 bilion bagi 2016-2021
22 Nov 2021
Kerajaan telah meluluskan sebanyak 4,545 projek perkilangan dengan jumlah pelaburan bernilai RM450.5 bilion untuk tempoh 2016 sehingga Jun 2021, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak RM278.8 bilion iaitu 61.9 peratus melibatkan pelaburan langsung asing manakala pelaburan langsung domestic menyumbang sebanyak RM171.7 bilion iaitu 38.1 peratus.
”Pelaburan ini dijangka menjana sejumlah 370,883 peluang pekerjaan baharu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Teh Kok Lim (PH-Taiping) mengenai jumlah pelaburan dalam industri pembuatan mengikut negeri untuk tempoh lima tahun lepas.
Selain itu, Lim berkata lima negeri utama iaitu Johor, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah telah menerima RM326.8 bilion daripada jumlah pelaburan yang diluluskan.
“Johor pula menerima RM100.9 bilion jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan mengikut negeri bagi 2016 sehingga Jun 2021, diikuti Selangor (RM72.5 bilion), Kedah (RM65.2 bilion) dan Pulau Pinang (RM53 bilion),” katanya.
Katanya kerajaan akan melihat kepada lima teras di bawah Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dalam meningkatkan pelaburan negara dengan memberi penekanan kepada pembangunan perkhidmatan dan produk canggih, penyelidikan dan inovasi tinggi dan kerja-kerja berkemahiran tinggi.
Sumber: Bernama