Kerajaan Negeri Sabah Tubuh Majlis Penasihat Ekonomi
11 Jan 2021
Kerajaan negeri Sabah telah menubuhkan ‘Majlis Penasihat Ekonomi Sabah’ (SEAC) yang terdiri daripada pemain industri, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk melengkapkan usahanya dalam pemulihan ekonomi negeri itu.
Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata SEAC adalah usaha dibuat secara sukarela oleh anggota dilantik yang telah bersetuju untuk memberikan perkhidmatan mereka kepada negeri tersebut sebagai penasihat.
Beliau berkata idea SEAC dicetuskan ketika kerajaan di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih pucuk pimpinan.
“Sejak Oktober tahun lalu, majlis penasihat berkenaan tidak membuang masa dengan mengumpulkan kesemua anggotanya untuk mencari jalan penyelesaian untuk memulihkan ekonomi negeri Sabah,” katanya selepas kepada pemberita mesyuarat khas SEAC di sini hari ini.
SEAC diketuai oleh Tan Sri David Chu Sui Kiong sebagai Pengerusinya manakala Datuk Tan Kim Beng memegang jawatan Setiausaha SEAC.
Hajiji berkata rancangan itu harus dilaksanakan selepas keadaan menjadi stabil pasca-COVID-19.
Sementara itu, beliau mengumumkan tindakan pembangunan negeri Sabah atau Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan SMJ 2021-2025) yang kini dalam peringkat akhir dan akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada masa yang terdekat ini.
“Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ akan melibatkan sektor swasta dan di sinilah kita melihat SEAC sebagai antara platform untuk membawa perubahan dan mengubah ekonomi Sabah,” katanya.
Beliau juga membincangkan keperluan dan keutamaan Sabah untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
“Tujuan pertemuan itu adalah untuk menjalin kerjasama yang lebih besar dan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan. Antaranya adalah untuk meningkatkan aliran masuk pelaburan domestik dan asing di Sabah dan khususnya untuk membawa lebih banyak pelaburan baharu ke Sabah.
“Sasaran kami adalah untuk meningkatkan nilai pelaburan yang diluluskan, Sabah mencatat sebanyak RM11.7 bilion untuk suku pertama 2019 dan membuktikan bahawa Sabah akan terus menjadi destinasi pelaburan yang menarik bagi pelabur asing,” katanya.
Sumber: Bernama