Kerajaan sasar kerjasama 50 pemain industri perkasa TVET
19 Jul 2023
Kementerian Sumber Manusia menyasarkan 50 pemain industri di seluruh negara bakal bekerjasama untuk memperkasakan pelatih dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), menjelang hujung tahun ini.
Timbalan Menterinya, Mustapha Sakmud memaklumkan setakat ini, sebanyak 24 syarikat telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi merealisasikan hasrat kerajaan itu.
Beliau berkata, 26 syarikat lagi juga sudah dikenal pasti dan perjanjian berkaitan kerjasama itu dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.
“MoU berkenaan adalah jalinan kerjasama antara semua institusi TVET yang berada di bawah 12 kementerian ketika ini bagi memberi pendedahan terkini dalam melahirkan pekerja berkemahiran.
“Setakat ini, kita telah menandatangani MoU dengan 24 syarikat dan saya yakin sasaran untuk menjalin kerjasama dengan 50 pemain industri menjelang hujung tahun ini akan tercapai.
“Untuk tujuan itu, kita sudah merangka strategi jalinan kerjasama bagi memberi manfaat kepada institusi TVET di negara ini,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Industri Taman Lesung Batu Emas, di sini, sempena Program Jejak TVET MADANI Alumni Institut Latihan Perindustrian (ILP) Bukit Katil, di sini, hari ini.
Melalui jalinan kerjasama itu, Mustapha berkata, syarikat berkaitan akan memberi kepakaran dan pendedahan teknologi terkini.
Sumber: Berita Harian