Kerajaan terus bendung COVID-19, pastikan ekonomi berkembang mulai separuh kedua 2021 – Tengku Zafrul
10 Jun 2021
Kerajaan akan berusaha melakukan yang terbaik bagi membendung penularan pandemik COVID-19 dan memastikan proses pemulihan ekonomi dapat diteruskan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata orang ramai juga boleh memainkan peranan masing-masing dengan memastikan diri mereka divaksin melalui aplikasi MySejahtera.
“Ini penting untuk memastikan ekonomi kita mampu pulih dan kembali berkembang mulai separuh kedua tahun ini,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-56, yang dikeluarkan hari ini.
Menurutnya, program vaksinasi yang lancar dan jumlah orang ramai yang mendapat vaksinasi meningkat mampu melonjakkan ekonomi negara.
Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kadar vaksinasi dos pertama di Malaysia dalam usaha mencapai imuniti kelompok bagi menyekat penularan COVID-19, ialah antara yang tertinggi di Asia Tenggara.
Setakat ini, Malaysia sudah memberi lebih tiga juta dos vaksin COVID-19, termasuk lebih dua juta penerima memperoleh suntikan pertama.
Memetik laporan Moody’s Investor Service, Tengku Zafrul berkata Malaysia berada di landasan pemulihan yang tepat.
“Laporan Moody’s menunjukkan ekonomi Malaysia stabil berdasarkan kepelbagaian daya saing, skala ekonomi yang berdaya saing sederhana besar, sumber semula jadi yang mencukupi dan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh,” katanya.
Beliau berkata kerajaan masih mengekalkan dasar ekonomi dan fiskal kerajaan yang efektif dan berhemat.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata setakat 28 Mei, 2021, kerajaan telah meluluskan RM12.06 bilion pinjaman mudah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang memberi manfaat kepada 25,605 PKS.
Bagi Geran Khas Prihatin (GKP), beliau berkata secara keseluruhannya, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada hampir satu juta PKS sejak COVID-19 melanda negara adalah sebanyak RM5.1 bilion.
“Kerajaan berharap bantuan ini dapat meringankan beban mereka terutamanya mereka yang amat terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh,” katanya.
Di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), kerajaan telah memutuskan pemberian GKP 3.0 sebanyak RM1,000 kepada lebih satu juta peniaga mikro untuk memastikan kelangsungan perniagaan mereka, khususnya dalam menguruskan aliran tunai masing-masing.
Sumber: Bernama