Kilang baharu unit PCG di Belanda buka peluang pertumbuhan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kilang baharu unit PCG di Belanda buka peluang pertumbuhan

Kilang baharu unit PCG di Belanda buka peluang pertumbuhan

11 Nov 2022

Kemudahan pembuatan baharu BRB International (BRB) di Echt, Belanda akan menyediakan lebih ruang pertumbuhan serta pembangunan bagi anak syarikat milik penuh Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) itu dalam segmen bahan tambahan minyak pelincir dan bahan kimia (LAC), selain meningkatkan daya saing untuk pengguna akhir.

MIDF Research dalam satu nota penyelidikan berkata, ia percaya bahawa PCG akan meneruskan pengembangan dalam penerokaan bahan kimia khusus bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap produk sedemikian dalam jangka sederhana hingga panjang.

Ia berkata, langkah itu juga akan membolehkan PCG mencapai matlamat tadbir urus, sosial dan alam sekitar (ESG) bagi memastikan industri petrokimia yang lebih bersih serta selamat.

“Secara keseluruhan, kami mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham PCG dengan sasaran harga RM11.93 sesaham,” katanya.

MIDF Research berkata, pengembangan BRB itu adalah sejajar dengan strategi kumpulan untuk mempelbagaikan perniagaan ke dalam segmen derivatif, penyelesaian dan bahan kimia khusus bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat serta berubah.

“Pembukaan kemudahan ini menunjukkan pencapaian penting dalam mengukuhkan BRB sebagai penyedia penyelesaian inovatif,” katanya.

Dilengkapi dengan piawaian keselamatan dan kualiti yang lebih tinggi, kemudahan baharu itu akan memberi tumpuan utama kepada pembuatan LAC dan akan beroperasi sebagai pusat LAC untuk pasaran global.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan PCG, Mohd Yusri Mohamed Yusof dalam kenyataan dikeluarkan berkata: “Pengembangan BRB adalah seiring dengan strategi PCG untuk mempelbagaikan portfolio produknya ke dalam derivatif, bahan kimia khusus dan penyelesaian untuk memenuhi permintaan pelanggan yang meningkat dan berubah di rantau itu.

“Sebagai sebahagian daripada rancangan pertumbuhan untuk BRB, pembukaan kemudahan ini merupakan pencapaian penting ke arah mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai penyedia penyelesaian yang inovatif.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BRB, Ralph Pinckaers berkata unit LAC sentiasa mengusahakan penyelesaian untuk pelanggan-pelanggan dalam bidang automotif, perindustrian dan pembuatan kelengkapan selama lebih 40 tahun.

“Menerusi kemudahan baharu ini, perniagaan LAC mempunyai lebih ruang untuk pertumbuhan dan pembangunan berpotensi produk baharu. Kami yakin langkah ini akan meningkatkan kelebihan daya saing BRB dalam pasaran,” katanya.

Kemudahan di Echt mempraktikkan pengendalian yang lestari dalam pembuatan bahan tambahan minyak BRB, Petrolad yang menggunakan tenaga yang lebih rendah dan mengurangkan jejak karbonnya secara keseluruhan dalam pembuatan produknya.

Amalan itu akan menyumbang kepada visi kelestarian PCG untuk mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang tahun 2050.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon