Kilang ‘Lights-Out’ bernilai RM180 juta siap pada separuh pertama 2024 – EG Industries
20 Mac 2023
Kilang Pintar ‘Lights-Out’ 4.0 milik EG Industries Bhd bernilai RM180 juta di Batu Kawan, dekat sini dijangka siap pada separuh pertama 2024.
Dalam kenyataan bersama pada Jumaat lepas, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan EG Industries menjelaskan kemudahan yang mula dibangunkan pada Januari 2023 itu akan melakukan pemindahan teknologi di Asia Tenggara.
“Kilang ini akan mengeluarkan pemancar dan penerima isyarat optik berkelajuan tinggi canggih 5G baharu untuk rangkaian tanpa wayar 5G (modul optik), menggunakan teknologi fotonik dan semikonduktor melalui pemindahan teknologi daripada pelanggan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Cambridge Industries Group (CIG).
“Ini dijangka meningkatkan kemahiran dan daya saing tenaga kerja tempatan selain bersedia untuk mengambil kira-kira 1,000 bakat berkemahiran tinggi apabila siap,” jelasnya.
Kilang baharu itu akan menggunakan metodologi ‘lights-out’, mewujudkan persekitaran berangkaian sepenuhnya yang mendigitalkan aliran bahan untuk pembuatan autonomi.
Kilang itu akan diuruskan oleh pasukan pakar khusus secara maya yang bertanggungjawab untuk pengurusan data, perancangan pengeluaran dan kawalan kualiti.
Selain Batu Kawan, penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) itu sedang memperluas kehadirannya untuk membina gudang pintar dan pusat pemerolehan antarabangsa yang menampilkan sistem inventori pengurusan vendor (VMI) pertama Kedah.
Peluasan ini bertujuan memenuhi keperluannya yang semakin meningkat serta kluster perindustrian sekitar di Sungai Petani, Kedah dan Batu Kawan, Pulau Pinang.
Kemudahan RM40 juta itu dijadualkan siap pada 2024, tambahnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Pembangunan Pelaburan MIDA, Lim Bee Vian berkata rancangan pengembangan EG Industries itu sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) untuk menarik pelaburan bernilai tinggi bagi merealisasikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan holistik.
“Kita menyambut baik projek peluasan EG Industries yang memanfaatkan teknologi 5G termaju, yang selaras dengan mandat kerajaan untuk MIDA meneraju transformasi digital yang pesat dalam sektor pembuatan.
“Ini akan membuka laluan kepada peningkatan produktiviti, penciptaan pekerjaan dan pengukuhan kemahiran rakyat Malaysia,” katanya.
Sumber: Bernama