Kilang WD capai pengiktirafan global
06 Okt 2021
Kilang pembuatan Western Digital (WD) di Batu Kawan, Pulau Pinang menjadi fasiliti pertama di negara ini yang memperoleh status sebagai anggota World Economic Forum (WEF) Global Lighthouse Network.
WEF Lighthouse merupakan inisiatif oleh WEF dengan kerjasama McKinsey & Company yang mengiktiraf penggunaan teknologi revolusi perindustrian keempat (IR4.0) oleh perusahaaan dan berjaya mencapai kemampanan operasi serta kecekapan produktiviti lebih baik.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman berkata, kejayaan fasiliti Western Digital di Batu Kawan untuk menjadi sebahagian daripada 90 fasiliti pembuatan global yang turut mencapai status sama, merupakan pengiktirafan kepada ekosistem sektor pembuatan di negara ini.
“Pencapaian ini penting kerana ia meletakkan Malaysia sebagai antara negara yang memiliki operasi pembuatan yang maju, malah membuktikan ketersediaan kita dari segi infrastruktur, sumber manusia dan polisi yang cukup kondusif bagi membolehkan WD mencapai status ini.
“Ia juga bakal menjadi contoh dan menetapkan penanda aras baharu kepada peneraju industri lain untuk memanfaatkan teknologi IR4.0 bagi menambah baik kecekapan dan kelestarian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan secara maya semalam.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan Global Flash Back-End Operations WD, KL Bock berkata, pihaknya bersedia berkongsi dengan pemain industri lain untuk memulakan transformasi ke arah penggunaan teknologi IR4.0 bagi mencapai standard global dalam pembuatan pintar.
Jelasnya, status tersebut memberi ruang kepada syarikat menyertai komuniti fasiliti pembuatan pintar dan rantaian nilai peneraju global, selain peluang untuk meneroka potensi kerjasama.
“Tekanan dari segi kos dan produktiviti akan sentiasa wujud, persoalannya ialah bagaimana kita menangani isu ini sambil mentransformasikan operasi bagi memberi lebih nilai kepada pemegang taruh,” ujarnya.
Sumber: Kosmo