KLIA lapangan terbang digital 5G pertama negara
20 Sep 2021
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Maxis Bhd membentuk perkongsian strategik bagi mewujudkan Lapangan Terbang Digital 5G pertama Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
MAHB dan Maxis dalam kenyataan bersama berkata, kerjasama itu bertujuan mengembangkan rangka kerja transformasi digital bagi operasi Smart Airport yang menjadi sebahagian daripada inisiatif Airports 4.0.
“MAHB ingin memanfaatkan Maxis sebagai pengendali telekomunikasi tunggal untuk menguruskan perkhidmatan kesalinghubungannya. Maxis pula akan menguruskan perkhidmatan dan penyelesaian rangkaian WiFi dan 5G di lapangan terbang utama negara, KLIA.
“Maxis juga akan mengembangkan penyelesaian digital berkemampuan 5G untuk penyewa dan penumpang lapangan terbang MAHB pada masa hadapan,” katanya.
Inisiatif transformasi digital menyeluruh oleh MAHB bermula sejak 2018.
Sejak itu, pengendali lapangan terbang itu meningkatkan usaha untuk meletakkan landasan teknologi yang memungkinkan pelaksanaan inisiatif ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata kedua-dua pihak akan melaksanakan kes penggunaan dan penyelesaian 5G ‘Smart Travel dan Tourism’, ‘Smart Retail’ serta ‘Smart Security’.
“5G akan menjadi pemangkin untuk menghubungkan kita dengan peluang perniagaan dan ekonomi baharu. Penggunaan 5G akan memperkuat asas untuk membolehkan teknologi baru dan digitalisasi operasi lapangan terbang kami.
“Ini juga membantu dalam mencipta pengalaman perjalanan baharu yang pintar untuk penumpang. Kami berharap perkongsian ini dapat mengubah lapangan terbang menjadi Lapangan Terbang Pintar,” katanya.
MAHB dan Maxis mengembangkan penyelesaian ‘Smart Retail’ serta ‘Smart Travel and Tourism’ yang akan memberikan pengalaman peribadi yang tiada tandingan bagi penumpang.
Ia termasuk membina platform ‘Tourist Hub’ untuk penumpang mempunyai akses ke panduan perjalanan, promosi dan tawaran.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut, berkata teknologi 5G berpotensi tinggi dan memungkinkan pengalaman pelanggan yang lebih baik.
“Kami komited memainkan peranan untuk menawarkan inovasi 5G terbaik untuk memberi manfaat kepada orang ramai dan perniagaan di negara ini menerusi kepakaran dan sumber kami.
“Lapangan terbang sudah berkembang dari hab transit menjadi destinasi kepada satu pengalaman perjalanan dari hujung ke hujung.
“Ketika menunggu ruang udara dibuka sepenuhnya, kami berhasrat untuk memulakan usaha dengan MAHB meningkatkan pengalaman dan perkhidmatan kesalinghubungan kepada pelawat dan penumpang,” katanya.
Sumber: Berita Harian