KMSB labur AS$20 juta pasang kereta Kia di Malaysia
02 Apr 2021
Kia Malaysia Sdn Bhd (KMSB) memperuntukkan pelaburan awal AS$20 juta (RM82.9 juta) bagi pembangunan setiap model baharu kenderaan Kia untuk pasaran domestik.
KMSB adalah syarikat usaha sama (JV) yang ditubuhkan antara Bermaz Auto Bhd (BAuto) dan Kia Motors Corporation (Kia Corp) bagi memasang kenderaan jenama Kia untuk pasaran Malaysia dan rantau ASEAN.
Pengerusi Eksekutif BAuto, Datuk Seri Ben Yeoh, berkata pelaburan awal itu membabitkan program pemasangan tempatan (CKD) yang akan dilaksanakan di kilang pengeluaran milik Inokom Corporation Sdn Bhd (Inokom) dekat Kulim, Kedah.
“Pelaburan turut membabitkan latihan pekerja, peralatan dan ujian bagi model baharu Kia bagi memenuhi keperluan yang telah digariskan.
“Bagi pembangunan rangkaian pengeluaran baharu, kita dapati masih terdapat ruang untuk mewujudkannya dan bila tiba masa kita akan membuat pelaburan. Buat masa ini, kita akan guna kapasiti sedia ada dan memanfaatkan sumber yang sudah dimiliki,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pemeteraian perjanjian persefahaman antara BAuto dan Kia Motors Corporation bagi pembentukan KMSB di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kia Asia Pacific, Ted Lee.
Sebagai pengeluar baharu, KMSB yang dikuasai lebih 60 peratus oleh Kia Corp, manakala bakinya dikuasai BAuto, akan mengambilalih rangkaian pengeluaran Kia.
Manakala, anak syarikat BAuto, Dinamikjaya Motors Sdn Bhd akan mengendalikan aspek pengedaran dan perkhidmatan selepas jualan jenama dari Korea Selatan itu.
Mengulas lanjut, Yeoh berkata, tumpuan utama KMSB ketika ini adalah untuk meningkatkan tahap keyakinan pelanggan sedia ada Kia, selain memacu kemahiran modal insan serta kemudahan pengedaran jenama itu di Malaysia.
Justeru, katanya, KMSB akan melihat semula program dan obligasi yang dilaksanakan pengedar rasmi Kia sebelum ini termasuk menilai butiran komitmen yang telah diumumkan terdahulu.
“Kami akan melihat secara keseluruhan termasuk perkhidmatan selepas jualan dari pengedar rasmi sebelum ini. Tumpuan kami adalah untuk meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan serta pengalaman dan kepuasan pelanggan.
“Angka jualan, buat masa ini bukan fokus utama kami,” katanya.
Beliau berkata, KMSB juga akan berusaha untuk mengekalkan 35 pusat pengedaran Kia yang masih beroperasi ketika ini.
“Kami pasti mereka masih komited dan KMSB juga akan pastikan pulangan yang efektif jika mereka kekal bersama kami,” katanya.
Mengenai model baharu yang akan diperkenalkan, Yeoh menjelaskan, KMSB sedang meninjau untuk memperkenalkan tiga rangkaian model baharu untuk dipasarkan di Malaysia.
“Buat masa ini, KMSB melihat tiga rangkaian produk yang bukan hanya dikenali sebagai kenderaan generasi seterusnya, malah mesra alam dan selamat menerusi fungsi pemanduan sendiri serta memiliki aspek elektrifikasi. Kami juga akan lihat kepada pembangunan model kenderaan elektrik,” katanya.
Berhubung eksport pula, beliau berkata, pasaran berpotensi yang akan diterokai KMSB adalah ASEAN di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sedia ada.
BAuto dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia sebelum itu berkata, Kia Corp bercadang menjadikan KMSB sebagai hab pengeluaran serantau jenama itu di negara ASEAN dan pasaran berpotensi lain.
Menurut kenyataan itu, KMSB akan menghasilkan dua model pertama iaitu Kia Seltos and Kia Carnival, manakala model ketiga akan ditentukan kelak.
Sumber: Berita Harian