Korea Selatan, Malaysia sepakat perluas hubungan ekonomi
01 Apr 2021
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan pertemuan dan perbincangannya dengan rakan sejawatannya, Yoo Myung Hee hari ini sebagai sangat produktif.
Beliau berkata, antara topik dibincangkan adalah pemulihan segera ekonomi, kerjasama antarabangsa dan hubungan perniagaan serta pelaburan bagi kedua-dua negara.
“Pertemuan dua hala dengan Yoo Myung Hee yang sangat produktif dengan membincangkan langkah pemulihan segera ekonomi, bagi menggalakkan pertumbuhan perdagangan serta pelaburan dua hala Malaysia dan Korea Selatan,” katanya menerusi Twitter, hari ini.
Mohamed Azmin mengetuai misi perdagangan dan pelaburan ke Korea Selatan dan Jepun bermula hari ini sehingga Selasa ini serta menjadi misi perdagangan dan pelaburan rasmi pertama sejak 10 Mac 2020.
Misi itu adalah langkah penting bagi meningkatkan usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan serta hab penyumberan untuk perniagaan global.
Selepas menemui Myung Hee dan menamatkan misi di Korea Selatan, Mohamed Azmin akan menemui pula Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, Kajiyama Hiroshi di Tokyo.
Terdahulu, beliau diberi taklimat oleh Kaunselor Kedutaan Besar Malaysia di Seoul, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi mengenai perkembangan terkini lebih 5,000 rakyat Malaysia di Korea Selatan termasuk kesan pandemik COVID-19 terhadap kehidupan mereka di negara berkenaan.
Sementara itu, BERNAMA melaporkan, Korea Selatan dan Malaysia sepakat memperluas kerjasama dua hala bagi mengatasi kejatuhan ekonomi akibat COVID-19 dan memanfaatkan industri baharu termasuk kereta mesra alam dan tenaga diperbaharui.
Memetik laporan Agensi Berita Yonhap, Myung Hee ketika bertemu Mohamed Azmin saling bertukar pendapat mengenai pelbagai isu dua hala dan kedua-dua negara berikrar memperluas kerjasama dalam pertumbuhan industri membabitkan produk seperti bateri boleh dicas semula atau alat ganti tenaga suria.
Malaysia dilaporkan merancang untuk menyokong sepenuhnya syarikat bateri Korea Selatan yang membuat pelaburan di Asia Tenggara.
Kedua-dua menteri bersetuju perdagangan dan pelaburan tidak boleh terganggu oleh pandemik COVID-19 dan berikrar untuk memperluas pertukaran ekonomi, termasuk mempermudah prosedur kemasukan pegawai perniagaan.
Korea Selatan dan Malaysia juga sepakat melaksanakan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dalam masa terdekat.
Seoul kini menunggu pelancaran rasmi RCEP akhir tahun ini, yang merangkumi ASEAN dan rakan dialognya – Korea Selatan, China, Jepun, Australia dan New Zealand.
Kedua-dua negara juga bersetuju menyambung rundingan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).
Malaysia adalah rakan dagang ketiga terbesar Korea Selatan dari Asia Tenggara.
Korea Selatan juga meminta Malaysia menyokong langkahnya untuk bergabung dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Sumber: Berita Harian