KPJ labur RM500 juta tambah baik 29 hospital - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


KPJ labur RM500 juta tambah baik 29 hospital

KPJ labur RM500 juta tambah baik 29 hospital

21 Mei 2023

KPJ Healthcare Bhd (KPJ), antara pengendali perkhidmatan penjagaan kesihatan utama di negara ini, akan memperuntukkan pelaburan sebanyak RM500 juta pada tahun ini.

Pengerusi KPJ, Datuk Md Arif Mahmood, berkata pelaburan yang dilaksanakan itu bagi tujuan penambahbaikan 29 hospital di bawahnya termasuk pengukuhan ekosistem digital dan data.

Beliau berkata, kumpulan juga akan membina sebuah hospital baharu di Kuala Selangor yang akan sedia untuk beroperasi pada tahun depan.

“Perbelanjaan modal ini adalah untuk semua perkara di bawah KPJ merangkumi pembelian peralatan perubatan dan menaik taraf hospital sedia ada kumpulan.

“Kumpulan juga akan memulakan operasi hospital ke-30 dalam tahun depan di Kuala Selangor,” katanya selepas majlis pelancaran Hospital Pakar Damansara 2 (DSH 2) di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan berangkat merasmikan DSH 2.

Baginda turut melawat kompleks hospital di bawah KPJ itu serta menandatangani plak sebagai simbolik perasmian.

Turut mengiringi baginda, Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi Johor Corporation (JCorp), Datuk Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Rohani, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh; Presiden serta Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim; Pegawai Pemimpin KPJ, Norhaizam Mohammad dan Ketua Pegawai Eksekutif DSH 2, Dr Ahmad Syukri Jamaludin.

Ketika ditanya mengenai industri pelancongan kesihatan, Md Arif berkata, sejak pembukaan sempadan dan lonjakan kembali ekonomi global serta serantau, industri itu memberikan peluang baharu kepada sektor perkhidmatan penjagaan kesihatan negara termasuk KPJ.

Beliau berkata, sektor perkhidmatan penjagaan kesihatan negara perlu mengambil peluang ini untuk memperkenalkan serta mengukuhkan lagi pelancongan kesihatan.

“Bukan saja kepada KPJ tetapi keseluruhan sektor berpotensi untuk berkembang dalam pelancongan kesihatan.

“Pembukaan sempadan telah memungkinan sektor ini mencapai kembali penguasaan terutamanya membabitkan pelancong kesihatan dari negara serantau seperti Indonesia dan Singapura.

“Namun pada masa sama, kita turut menumpukan kepada pesakit tempatan dalam menyediakan perkhidmatan terbaik,” katanya.

Md Arif berkata, DSH 2 adalah hospital ke-29 yang juga hospital mewah pertama KPJ dengan pelaburan sebanyak RM100 juta bagi pembelian peralatan dan sebagainya.

Beliau berkata, DSH 2 kelak akan menyediakan 300 katil untuk merawat pesakit di bangunan 11 tingkat itu selain 10 unit rawatan rapi (ICU), tujuh dewan bedah, bilik endoskopi serta bilik rundingan.

Katanya, ketika ini kadar penghunian katil di DSH 2 adalah sebanyak 60 peratus daripada 60 katil yang tersedia dan jumlah itu dijangka akan meningkat kepada 120 katil pada hujung tahun ini.

“Sejak dibuka pada 1 September 2022, sebanyak 70 peratus pesakit adalah domestik manakala 30 peratus dari pesakit luar negara.

“Jumlah ini dijangka akan meningkat dan kami menyasarkan 50 peratus pesakit adalah dari luar negara menjelang hujung tahun ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon