KPMG: CEO lebih yakin terhadap pemulihan ekonomi tetapi bimbang dengan risiko rantaian bekalan
20 Sep 2021
Tinjauan global yang dilakukan oleh KPMG International mendapati 59 peratus ketua pegawai eksekutif (CEO) di Asia Pasifik (APAC) kini lebih yakin terhadap pemulihan ekonomi global berbanding pada awal tahun ini.
Namun, mereka juga semakin bimbang mengenai risiko ke atas rantaian bekalan masing-masing, demikian menurut Tinjauan CEO KPMG 2021 (KPMG 2021 CEO Outlook) yang meninjau lebih daripada 1,300 CEO global mengenai strategi dan prospek mereka dalam tempoh tiga tahun.
Dalam kalangan hampir 500 CEO di Asia Pasifik, 66 peratus CEO di Asia Pasifik menyatakan rantaian bekalan mereka mengalami tekanan yang meningkat sejak 18 bulan terakhir.
Oleh itu, tidak menghairankan para CEO ini meletakkan risiko rantaian bekalan sebagai ancaman utama mereka terhadap pertumbuhan tahun ini, kata firma perundingan itu.
“Pra pandemik, risiko kepada rantaian bekalan kian mendapat perhatian berikutan meningkatnya situasi ketidakpastian daripada ketegangan perdagangan dan peristiwa yang didorong oleh iklim tetapi masih dianggap sebagai keutamaan tahap rendah bagi para CEO.
“Bagaimanapun, pandemik terus menjadikan isu ini fokus yang ketara, menyaksikan organisasi bergelut untuk mengekalkan kesinambungan rantaian bekalan semasa kawalan pergerakan dikuatkuasakan seluruh dunia,” kata rakan pengurusan KPMG di Malaysia Datuk Johan Idris dalam satu kenyataan.
KPMG berkata CEO Asia Pasifik terus menyedari pentingnya membina rantaian bekalan yang berdaya tahan dan fleksibel.
Justeru, 36 peratus telah menyatakan hasrat untuk memantau lebih jauh ke dalam rantaian bekalan mereka bagi menjangkakan potensi masalah yang lebih baik sementara 34 peratus akan mempelbagaikan sumber input dengan menambahkan lokasi input baharu untuk menjadikan rantaian bekalan mereka lebih berdaya tahan.
Sebanyak 14 peratus CEO lagi akan mengutamakan penyusunan semula rantaian bekalan mereka untuk memberikan ketahanan yang lebih besar dan akses yang lebih konsisten untuk mencapai objektif pertumbuhan masing-masing.
Sementara itu, penemuan lain dalam tinjauan berkenaan menyatakan 70 peratus CEO berhadapan peningkatan permintaan daripada pihak berkepentingan untuk menyediakan lebih banyak pelaporan dan ketelusan mengenai masalah persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) dan 81 peratus percaya rangsangan kerajaan akan diperlukan sekiranya semua perniagaan mahu mencapai sifar bersih.
Sumber: Bernama