KWSP, ALP bekerjasama bangun hab logistik di Klang - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


KWSP, ALP bekerjasama bangun hab logistik di Klang

KWSP, ALP bekerjasama bangun hab logistik di Klang

06 Okt 2022

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Ally Logistic Property Co Ltd (ALP) menandatangani Perjanjian Pemegang Saham untuk membangunkan hab logistik 100 peratus pra-pajakan di Bukit Raja, Klang, Selangor.

KWSP akan melabur sehingga 70 peratus kepentingan dalam syarikat usaha sama, ALP BR (Malaysia) Sdn Bhd (ALP BR), dengan baki 30 peratus akan dipegang oleh ALP.

Hab logistik moden ini akan terletak di di atas tanah pegangan bebas seluas 27 ekar.

Ia bakal dilengkapi dengan Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik, atau teknologi ASRS bagi meningkatkan kecekapan dan fleksibiliti untuk penyewa.

Hab dijangka siap menjelang suku ketiga 2024, dengan keluasan kasar melebihi 1.8 juta kaki persegi dan 100,000 kedudukan palet dalam zon Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik.

Setelah pembinaan siap, ALP BR akan memajakkan seluruh gudang kepada ALP di bawah perjanjian pajakan induk selama 15 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata, dana persaraan pekerja swasta itu berbesar hati dapat menjalin usaha sama dengan ALP untuk membangunkan hab logistik berteknologi tinggi di Bukit Raja, Klang.

“Aset ini akan memberi peluang kepada KWSP melabur dalam aset logistik berkualiti tinggi dan menjana pendapatan sewa yang stabil untuk KWSP dan ALP.

“Pemilihan ALP sebagai rakan kongsi pelaburan kami untuk hartanah logistik dipacu oleh reputasi dan pengetahuan ALP sebagai pakar sektor global, yang memiliki portfolio berkualiti tinggi.

“Usaha sama ini memberikan peluang strategik kepada KWSP untuk memacu pertumbuhan sektor logistik, yang dijangka terus meningkat, didorong oleh pasaran e-dagang yang rancak dan kepelbagaian rantaian bekalan oleh pemain utama,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif ALP, Charlie Chang, berkata, dalam usaha untuk mengembangkan aset berkualitinya ke Asia Tenggara, ALP melihat Malaysia sebagai titik permulaan yang baik untuk memperkenalkan infrastruktur logistik modennya atas dasar penerimaan baik negara ini terhadap inovasi.

“Usaha sama kami dengan KWSP adalah untuk jangka panjang di Malaysia dan seterusnya,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon