Lam Research rasmi pembukaan kilang bernilai RM1 bilion - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Lam Research rasmi pembukaan kilang bernilai RM1 bilion

Lam Research rasmi pembukaan kilang bernilai RM1 bilion

03 Ogo 2021

Lam Research Corporation, pembekal global bagi peralatan dan perkhidmatan fabrikasi wafer inovatif kepada industri semikonduktor, secara rasmi membuka kemudahan baharu dengan pelaburan bernilai RM1 bilion di Batu Kawan, dekat sini, pada Selasa.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tim Archer, berkata kilang pembuatan di Kawasan Perindustrian Batu Kawan itu mempunyai keluasan lantai 800,000 kaki persegi iaitu 100,000 kaki persegi lebih luas berbanding rancangan awal.

Beliau berkata, kilang itu akan menjadi hab operasi Lam Manufacturing di Asia selain dijangka melonjakkan pengeluaran untuk menjadi kemudahan pembuatan yang mencatatkan jumlah tertinggi dalam kalangan kilang global lain milik pihaknya.

“Dalam melangkah maju, perancangan kami adalah terus mendapatkan dan membina perkongsian kukuh dengan rantaian bekalan tempatan supaya kami boleh meningkatkan keluaran dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang, di samping memenuhi permintaan dunia yang amat tinggi terhadap semikonduktor,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian secara maya.

Turut menyaksikan majlis itu secara maya ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Ahmad Khairuddin Abdul Rahim; Duta Amerika Syarikat di Malaysia, Brian McFeeters dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Sementara itu, ketika menyuarakan galakan kepada pelabur, Kon Yeow berkata, lebih banyak syarikat semikonduktor global sedang mengembangkan operasi mereka ke negeri ini, sekali gus membuktikan usaha kerajaan negeri dalam mewujudkan persekitaran mampan, ekosistem perindustrian yang rancak dan teguh serta daya tarikan infrastruktur yang menyokong pelabur utama.

“Pulau Pinang akan dapat memperkukuh lagi rantaian nilai semikonduktor global dengan memanfaatkan peluang baharu dalam pembuatan semikonduktor bagi wafer siap, yang mewujudkan prospek untuk pekerjaan bernilai tinggi kepada tenaga kerja tempatan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Lam Manufacturing Malaysia, Soon K Kuek berkata, sejajar dengan perluasan kemudahan baharu itu, pihaknya juga menggaji lebih ramai bakat tempatan.

Beliau berkata, awal tahun ini, Lam Research memberi komitmen untuk menggaji 350 pekerja tempatan bagi pekerjaan bernilai tinggi seperti juruteknik pengeluaran, pemasang dan profesional bertumpukan operasi.

“Jumlahnya kini telah melebihi angka terbabit dan menjelang akhir tahun ini, kami berhasrat untuk mengambil lebih 600 pekerja tempatan,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon